Ahad, 2 Jun 2013

Bencana Alam : Sediakan Payung Sebelum Hujan

     Dewasa ini, negara kita sering dikejutkan dengan bencana alam yang serius dan membimbangkan. Bencana alam ini memang tidak pernah terduga oleh mana-mana pihak dan berlaku secara tiba-tiba. Contohnya bencana banjir kilat yang berlaku di Kuala Lumpur pada tahun 2007. Banjir kilat yang melanda di Kuala Lumpur sehingga sedalam 1.8 meter pada hari Ahad, 10 Jun 2007, jam 6.00 petang hingga 8.00 malam, selama empat jam akibat hujan lebat. Kawasan utama yang tenggelam ialah Dataran Merdeka, Jalan Tun Perak, Jalan Raja, Kelab Diraja Selangor, Jalan Ipoh, Jalan Masjid India, Masjid Jamek, Stesen LRT Masjid Jamek, Kampung Baru, Kampung Chubadak dan Sentul. Jalan Tun Razak, Jalan Ampang, Jalan Dang Wangi, Jalan Kampung Pandan dan Jalan P. Ramlee turut dilanda banjir. Air memenuhi bawah Dataran Merdeka dan terpaksa disedut keluar. Air melimpah hingga ke dewan sembahyang Masjid Jamek. Banjir kilat ini mengakibatkan ratusan kereta dan bangunan rosak serta tidak dapat digunakan lagi. Sesungguhnya, bencana alam yang menimpa di Kuala Lumpur mengakibatkan kerugian yang besar kepada penduduk dan juga negara.

Bencana alam bolehlah ditakrifkan sebagai satu keadaan yang tidak dapat ditentukan oleh manusia dan tidak perlu dipertanggungjawabkan. Kejadian ini berlaku akibat daya alam semulajadi dan menyebabkan kesukaran, kecederaan atau kematian misalnya banjir, gempa bumi, tanah runtuh, el-nino dan la-nino dan sebagainya. Bencana adalah sesuatu kejadian yang berlaku secara mengejut, bersifat kompleks dan mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan kepada harta benda atau alam sekitar serta menjejaskan aktiviti masyarakat setempat. Kejadian ini memerlukan pengendalian yang melibatkan sumber, peralatan, kekerapan dan tenaga manusia yang ekstensif daripada banyak agensi serta penyelarasan yang berkesan dalam mana kemungkinan memerlukan tindakan yang kompleks dalam jangka masa yang panjang. Jabatan Kerja Raya Malaysia selaku jabatan kerajaan yang melaksanakan projek infrastruktur awam dan juga penyelenggaraan prasarana awam akan memberi khidmat dari segi amaran awalan dan juga maklumat-maklumat penting akibat bencana alam yang terjadi di negara ini.

Bencana alam sebenarnya boleh dielak jika langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Langkah pencegahan yang dimaksudkan ialah dengan penjagaan dan pengurusan alam sekitar yang terancang dan tidak meninggalkan kesan negatif terhadapnya. Secara saintifik, konsep ‘alam sekitar ‘ yang merupakan “alam tabii”(nature) adalah unsur-unsur alam sekitar yang melibatkan perhubungan antara dua unsur iaitu abiotik dan biotik. Unsur abiotik dikenali sebagai unsur tidak hidup seperti angin dan suhu manakala unsur biotik pula ialah sebagai unsur hidup iaitu manusia dan ikan. Kesemua unsur alam sekitar saling berhubungan antara satu sama lain dalam suatu sistem yang harmoni dan dinamik. Alam sekitar merupakan elemen penting yang perlu dijaga agar dapat mewujudkan keharmonian alam persekitaran yang dapat dikongsi bersama-sama oleh anggota masyarakat tanpa batasan sempadan politik, kaum, agama, keturunan, usia dan jantina. Dalam Islam menekankan kepada pentingnya penjagaan alam sekitar supaya bermanafaat kepada makhluk-Nya dan ini telah diamanahkan kepada manusia sebagai khalifah (iaitu yang diamanahkan untuk menjaga, mengurus, mengatur dan sebagainya) di muka bumi Tuhan. Apabila alam sekitar terpelihara dengan pembangunan yang terancang akan dapat mengurangkan berlakunya malapetaka yang tidak dapat diramal. Oleh itu, kita harus berusaha untuk menjaga alam sekitar daripada terus musnah di samping melaksanakan projek pembangunan yang lebih tersusun dan tidak meninggalkan sebarang impak negatif terhadap alam sekitar.

Antara langkah pencegahan untuk mengelak berlakunya bencana alam ialah melalui pelaksanaan “pembangunan mapan” di negara kita. Secara ringkasnya, pembangunan mampan adalah pembangunan negara yang dilaksanakan di samping memelihara alam sekitar. Pembangunan mampan merupakan satu konsep pembangunan yang harus dijalankan secara berterusan atau baik tanpa merosakkan hak-hak generasi akan datang. Dengan lain perkataan, iaitu kemajuan yang memenuhi keperluan masa kini tanpa mengancam keupayaan generasi akan datang bagi memenuhi keperluan mereka. Konsep pembangunan ini mengambil kira aspek keadilan sosial, keperluan asas manusia, kesihatan awam dan kesedaran masyarakat terhadap persekitarannya dari segi hubungannya dengan ruang dan masa. Hal ini kerana konsep pembangunan terdahulu tidak pernah berusaha untuk mengharmonikan atau mengukuhkan hubungan antara dua elemen dan menyebabkan wujudnya konflik atau ketidakserasian dalam sesebuah kawasan. Pembangunan mampan merupakan satu strategi baru yang diterapkan dalam pengurusan alam sekitar negara ini. Perkara ini wujud apabila dunia merasakan kebimbangan terhadap kemerosotan kualiti alam sekitar ekoran daripada pelbagai aktiviti pembangunan yang dijalankan tanpa pengawalan dan pemantauan yang baik. Satu persidangan antarabangsa mengenai alam sekitar dan pembangunan telah dijalankan pada 15 Disember 1983 bagi merangka agenda sedunia untuk perubahan. Suruhanjaya yang ditubuhkan meminta semua negara sama ada secara gabungan atau individu menginterasikan pembangunan mampan sebagai matlamat mereka dan menerapkan beberapa prinsip yang telah ditetapkan dalam Laporan Brundtland hasil daripada persidangan tersebut (UNCED).

Di Malaysia, kerajaan telah memberikan tanggungjawab kepada Jabatan Alam Sekitar bagi merealisasikan pembangunan secara mampan sebagai salah satu strategi pengurusan alam sekitar. Jabatan Alam Sekitar Malaysia juga dibantu oleh beberapa agensi lain seperti kerajaan tempatan, Jabatan Alam Sekitar di peringkat negeri dan sebagainya. Selain itu, agenda pembangunan secara mampan juga menjadi konsep utama dalam penggubalan beberapa polisi penting pembangunan negara dan strategi pembangunan ekonomi Malaysia. Antaranya dalam Dasar Pembangunan Negara dimana, selain dinyatakan matlamat untuk mencapai taraf sebuah negara maju pada tahun 2020 dasar ini juga menggariskan bahawa setiap pembangunan yang dijalankan mestilah “memberikan perhatian kepada perlindungan alam sekitar dan ekologi dalam jangka panjang agar pembangunan negara dapat dilestarikan”.

Hal ini menjelaskan tentang kepentingan pelaksanaan pembangunan secara mampan dalam semua aspek rancangan pembangunan negara pada masa hadapan. Berdasarkan kenyataan di atas juga menunjukkan bahawa kerajaan kini amat mementingkan pembangunan yang bersifat mampan kerana alam sekitar dan ekologi merupakan sesuatu yang sangat penting daripada pembangunan yang dilaksanakan demi memenuhi permintaan dan keperluan manusia pada masa kini. Justeru, kerajaan telah menjalankan langkah bagi mengenalpasti pembangunan yang akan dilaksanakan menepati maksud seperti yang terkandung dalam Dasar Pembangunan Negara. Bagi pelaksanaan pembangunan mampan secara baik dan berkesan, kita memerlukan beberapa prinsip asas yang boleh dijadikan sebagai landasan untuk menuju matlamat tersebut. Berdasarkan Deklarasi Langkawi (1989), menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi merupakan suatu keperluan mendesak tetapi perlu memberi pertimbangan yang teliti terhadap aspek alam sekitar. Oleh itu, bagi menyimbangi dua-dua elemen tersebut pertumbuhan ekonomi mesti digalakkan dan pada masa yang sama sumber asas alam sekitar juga hendaklah dipertingkatkan.

Kepentingan pelaksanaan pembangunan secara mampan adalah sebagai mekanisma kawalan alam sekitar secara perundangan yang paling baik iaitu melalui pelaksanaan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi merealisasikan pembangunan mampan di sesebuah negara. Di mana, kawalan jangka panjang terutamanya dari segi perancangan pembangunan yang turut mengambil kita aspek alam sekitar secara menyeluruh. Oleh itu, pembangunan mampan merupakan langkah kerajaan dalam berusaha menjaga alam sekitar agar dapat mengelak sesuatu kejadian buruk.

Pencegahan kedua untuk menjaga alam sekitar ialah melalui kesedaran orang ramai tentang pentingnya memelihara dan memulihara alam sekitar. Pelbagai kempen harus dijalankan oleh kerajaan agar dapat memberi pendedahan, pengetahuan dan kesedaran kepada orang ramai supaya tidak memandang ringan masalah alam sekitar yang dihadapi oleh negara kita pada masa kini. Peranan masyarakat khususnya dalam bentuk perlakuan dan kesedaran penting dalam mengawal sisa-sisa dan masalah kemerosotan alam sekitar. Kesedaran ini penting untuk mencapai tahap kehidupan yang baik serta menjamin program-program pemuliharaan alam sekitar mencapai kejayaan. Oleh itu, bagi merealisasikan penglibatan masyarakat, maka perlu ditanamkan kesedaran dan semangat ke dalam diri masyarakat itu sendiri. Selain itu, kerajaan harus sentiasa memberi pendidikan mengenai alam sekitar terhadap masyarakat kerana pendidikan dalam alam sekitar mempunyai berbagai peranan terutamanya dari segi pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Masyarakat perlu mempunyai pengetahuan tentang aspek-aspek seperti alam semula jadi, alam ciptaan manusia dan bagaimana manusia berinteraksi dengan alam sekitar. Galakan dan dorongan diperlukan dalam pendidikan secara formal terutamanya di peringkat sekolah sebagai pendidikan asas dan di peringkat universiti sebagai pendidikan yang memberi penekanan terhadap kajian-kajian saintifik dan kualitatif. Masyarakat yang berpendidikan tinggi tetapi tidak tahu menghargai alam sekitar tidak akan menjamin kesejahteraan alam sekitar, tetapi pendidikan mengenai isu-isu alam sekitar yang diterapkan akan membawa makna yang lebih mendalam. Konsep ini membawa kepada konsep etika alam sekitar. Etika alam sekitar yang diterap dalam diri masyarakat menjadikan diri mereka lebih menghargai, menyayangi dan berdisiplin dalam setiap tindakan yang melibatkan alam sekitar. Contohnya perbuatan tidak beretika yang dilakukan oleh segelintir masyarakat iaitu membuang sampah sarap ke dalam sungai. Perbuatan ini haruslah dilarang sama sekali dan masyarakat tersebut haruslah disedarkan melalui pendidikan atau ilmu yang disalurkan oleh kerajaan.

Seterusnya, penguatkuasaan undang-undang juga adalah penting dalam pencegahan kepada pencemaran alam sekitar dan seterusnya mengelakkan bencana alam. Hal ini kerana mekanisme atau kaedah ini yang dianggap paling berkesan untuk mengawal aktiviti pembangunan dan pencemaran terhadap alam sekitar. Sebelum merdeka lagi sudah terdapat perundangan mengenai alam sekitar yang melarang mana-mana pihak melakukan aktiviti yang negatif sehingga memberi kesan terhadap alam sekitar. Malahan sehingga kini terdapat tidak kurang daripada empat puluh lima buah perundangan yang telah digubal dan digunapakai untuk menjaga persekitaran secara lestari. Perundangan yang berkaitan denga aspek alam sekitar secara umumnya digubal untuk menangani masalah yang kerap wujud iaitu berkaitan dengan pencemaran air, udara, bunyi bising dan lain-lain. Sebahagian besar penggubalan undang-undang tersebut bertujuan mengatur atau sebagai panduan kepada aktiviti manusia yang mungkin secara langsung ataupun sebaliknya dalam mempengaruhi kualiti persekitaran mereka. Terdapat juga beberapa buah perundangan yang berbentuk pencegahan bagi tujuan pengawalan atau pengurangan kemungkinan kemerosoton kualiti persekitaran. Oleh itu, masyarakat tidak sewenang-wenang melaksanakan sesuatu tindakan sebelum mengetahui kesannya terhadap alam. Hal ini kerana semua peraturan sudah termaktub dalam undang-undang.

Di samping itu, peranan kerajaan, pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat dalam bersama-sama memelihara dan memulihara alam sekitar. Semua pihak sama ada yang berkepentingan ataupun tidak haruslah berganding bahu melaksanakan tuntutan murni menjaga kelestarian alam daripada musnah. Penglibatan pihak swasta, NGO dan masyarakat termaktub di dalam Rancangan Malaysia Kelapan iaitu golongan ini digalakkan untuk terus memainkan peranan aktif dalam melindungi dan mengekalkan alam sekitar terutamanya melalui galakan pendekatan yang berasaskan kepada komuniti. Pihak swasta merupakan pihak yang menjana alam sekitar iaitu melakukan aktiviti-aktiviti ekonomi yang berasaskan kepada sumber alam sekitar. Pihak swasta merangkumi pekilang, pemilik industri yang mengendalikan sendiri perniagaan dengan sumber kewangan sendiri. Di Malaysia pelbagai galakan telah disediakan oleh kerajaan untuk meningkatkan peranan swasta dalam pemuliharaan alam sekitar. Pihak Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang menjalankan aktiviti perindustrian digalakkan untuk menggunakan “teknologi yang lebih bersih” dalam proses pengeluaran. Di samping itu, kemudahan pembiayaan turut disediakan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) kepada IKS dalam melaksanakan aktiviti yang berkaitan dengan alam sekitar. Program latihan juga akan dikendalikan bagi menggalakkan syarikat swasta mengamalkan pengurusan alam sekitar di setiap bahagian termasuk pengiraan kos, pengauditan, laporan dan penilaian kitaran hayat mengenai alam sekitar serta Standard ISO 14001.

Selain itu, NGO juga tidak terkecuali memainkan peranan penting dalam melaksanakan program-program yang berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar. NGO merupakan organisasi-organisasi yang berjalan secara bebas dan tidak terikat dengan kerajaan sama ada daripada segi peruntukan dan juga operasi. Pertubuhan NGO seperti Seirra Club, Green Peace, World Wide Fund for Nature (WWF), Persatuan Pecinta Alam Malaysia, Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia dan sebagainya. NGO berperanan meningkatkan kesedaran tentang alam sekitar melalui program pendidikan dan pengembangan sumber alam kepada masyarakat contohnya melalui kempen. NGO juga harus menyediakan peluang kepada semua orang untuk mendapatkan maklumat, pengetahuan dan kemahiran dalam memelihara alam sekitar.

Seterusnya, peranan masyarakat iaitu yang melibatkan orang awam itu sendiri yang menjadi pengguna terakhir kepada barangan yang dikeluarkan oleh pihak swasta. Dalam keadaan tertentu, orang awam juga terlibat secara langsung dalam perkara-perkara yang menyebabkan kemerosotan alam sekitar seperti pembuangan sampah sarap khususnya ke dalam sungai, pembakaran terbuka dan sebagainya. Penglibatan masyarakat penting dalam menjayakan usaha pemeliharaan alam sekitar khususnya dalam pengawalan sisa. Hal ini kerana pengurusan alam sekitar bukan hanya tanggungjawab pihak kerajaan semata-mata tetapi juga merupakan tanggungjawab seluruh masyarakat yang merangkumi semua pihak. Sesungguhnya, untuk menjamin kelestarian sumber alam sekitar seperti udara, air yang bersih, tanih yang tidak tercemar, mengekalkan kepelbagaian genetik dan keberkesanan dalam penggunaan tenaga maka kerjasama pelbagai pihak perlu diselaraskan. Misalnya, bagi melindungi kepelbagaian spesies biologi yang ada sebagai khazanah alam untuk dirasai oleh generasi akan datang kerajaan memerlukan lebih banyak kerjasama di peringkat nasional dan antarabangsa. Perkara ini perlu diteliti kerana apabila terdapat satu pihak yang berkepentingan sendiri sama ada bagi mengaut keuntungan dan sebagainya maka dengaan sendirinya mereka akan mengeksploitasi sumber alam secara berlebihan. Oleh itu, semua pihak harus bekerjasama menjaga kelestarian alam sekitar agar dapat dirasai oleh generasi akan datang.

Langkah pencegahan yang terakhir ialah dengan menggunakan teknologi terkini dalam mengawal atau mengesan sesuatu bencana alam. Hal ini dapat mengurangkan kadar kehilangan nyawa dan kemusnahan kerana langkah pengawalan dan pencegahan telah diambil. Contohnya teknologi canggih dapat mengesan ribut petir yang akan berlaku melalui peranan Jabatan Meteorologi Malaysia yang sentiasa mengawasi dengan rapinya keadaan cuaca dan menyiarkan ramalan cuaca secara rutin melalui media massa. Maklumat dari rangkaian stesen pencerapan permukaan, radar cuaca, satelit dan sumber-sumber lain dapat menjejak pembentukan ribut petir di negara kita. Oleh sebab itu masyarakat disarankan memberi perhatian pada sebarang nasihat dan amaran cuaca buruk. Selain itu, Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) perlu dilakukan dari masa ke semasa bagi memastikan data-data asas mengenai persekitaran fizikal serta keadaan alam sekitar untuk pemantapan sistem pengurusan alam sekitar negara ini. Kaedah penyelidikan bersama-sama juga amat penting bagi mencari kaedah yang paling berkesan dan tepat untuk mengatasi sesuatu jenis pencemaran yang berlaku. Melalui kaedah penyelidikan, sedikit sebanyak dapat menyumbangkan input dalam usaha-usaha mengatasi pencemaran secara berkesan.

Kesimpulannya, penjagaan alam sekitar adalah penting agar dapat mengelak berlakunya bencana alam yang tidak terduga. Oleh itu, semua pihak harus berganding bahu dalam memastikan alam sekitar kita terpelihara dan jauh dari sebarang kerosakan. Pembangunan sememangnya menjadi kemestian bagi kelangsungan hidup manusia di muka bumi ini. Tetapi, biarlah setiap projek pembangunan yang dirancang mesti mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar. Seandainya perkara ini tidak dititikberatkan tanpa disedari dalam manusia berusaha meningkatkan taraf hidup secara tidak langsung turut merendahkan kualiti keselesaan hidup mereka sendiri sama ada bagi generasi kini mahupun untuk generasi akan datang. Selain itu, pencemaran perlu dipantau dan dikawal melalui dasar-dasar serta kaedah pengurusan yang lebih sempurna, teratur dan tegas. Sehubungan itu, pengurusan alam sekitar secara bersepadu mesti diwujudkan yang mana pelaksanaannya memerlukan sokongan dan penglibatan semua pihak. Penjagaan alam sekitar bukan hanya sebagai tuntutan sosial tetapi juga merupakan tuntutan agama dan hak generasi akan datang. Oleh itu, marilah kita bersama-sama terutamanya rakyat Malaysia bersatu hati menyemai serta menanam sikap cintakan alam sekitar untuk kepentingan kita bersama. Sesungguhnya, alam persekitaran yang baik menjamin kelangsungan kesejahteraan masyarakat dari sebarang bencana.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan