Isnin, 3 Jun 2013

Wanita Sebagai Pemangkin Kecemerlangan Alam Sekitar

 
Masyarakat pada hari ini perlu mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita dalam pelbagai aspek pembangunan negara. Wanita memainkan peranan dan memikul tanggungjawab yang sama penting dalam memastikan keharmonian masyarakat dan kemakmuran ekonomi melalui pengurusan rumah tangga, penjagaan dan pendidikan anak-anak. Bukan sahaja membangunkan masyarakat dari segi ekonomi, politik  dan sosial, malah turut menjadi nadi pembangunan alam sekitar negara.

          Pelbagai peranan yang dimainkan oleh wanita bagi memastikan alam sekitar sentiasa terjaga dan tidak dinodai dengan sewenang-wenangnya. Tidak dinafikan bahawa kaum Adam juga turut terlibat dalam pembangunan alam sekitar, tetapi penglibatan golongan wanita lebih terserlah dan menjadi perhatian. Oleh kerana wanita mempunyai pelbagai peranan dalam masyarakat, wanita mampu mempengaruhi persekitarannya lebih baik berbanding lelaki. Ini kerana adanya rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar demi kebaikan bersama dimasa hadapan..

Manusia tidak sebebasnya memiliki semua khazanah di muka bumi ini. Alam sekitar sekadar amanah Allah kepada manusia dan manusia berkewajiban mengurusnya dengan baik. Melakukan kerosakan dan kebinasaan kepada alam ini adalah tanda pengkhianatan terhadap amanah itu. Kesedaran terhadap alam sekitar, peranan dan tanggungjawab terhadapnya wajar dimulakan seawal mungkin. Jika kesedaran dan pendidikan ini dapat dimulakan sejak kecil, ia secara tidak langsung akan melahirkan generasi yang bertanggungjawab terhadap amanah yang Allah berikan kepada manusia. Oleh itu, wanita perlu memberikan keutamaan dan komitmen yang tinggi terhadap usaha-usaha untuk mendidik dan memupuk nilai-nilai asas pengetahuan, kesedaran dan kecintaan terhadap alam sekitar di kalangan ahli keluarga dan anak-anak.

 Wanita perlu memberi perhatian kepada masalah alam sekitar dan memberikan pendidikan yang sepatutnya kepada anak-anak. Menjaga kebersihan alam sekitar ini haruslah bermula dengan kebersihan diri, bilik dan rumah secara keseluruhan. Menjaga kebersihan adalah tugas yang perlu dilaksanakan bersama-sama dengan anak-anak untuk memberi pendedahan dan tunjuk ajar dari peringkat yang paling awal. Sebagai  seorang ibu, wanita perlu mengasuh anak-anak supaya menyintai kebersihan seperti mengajar anak-anak membuang sampah di tempat yang sepatutnya dan melarang anak-anak daripada melakukan kerosakan terhadap alam semulajadi. Dengan ini anak-anak akan menjadi terbiasa dengan didikan berkenaan dan akan terbawa-bawa ke alam remaja dan dewasa sekaligus akan melahirkan masyarakat yang peka kepada kebersihan.

Amalan gaya hidup yang lebih mesra alam iaitu kurangkan pembaziran, lebihkan perkongsian dan hidup sederhana perlu ditekankan dalam kehidupan seharian keluarga.  Tanggungjawab dipikul sebagai seorang ibu yang dapat membentuk dan menyemai jiwa anak-anak supaya mencintai alam sekitar. Kejayaan seorang ibu mendidik anak-anak menjaga alam sekitar membuktikan bahawa wanita sebagai tonggak utama yang mendorong kecemerlangan alam sekitar. Pembaziran dan pembuangan perlu dielakkan kerana sumber asli bumi ini akan pupus dengan cepat jika kita tidak mula berjimat dan perlu menyelamatkannya mulai sekarang. Keindahan alam harus dikekalkan demi masa depan anak-anak.

Persoalan alam sekitar di Malaysia jarang-jarang dilihat atau dibincangkan dengan tumpuan khusus pada wanita. Ini bermakna bahawa masalah tertentu yang dihadapi wanita yang berkaitan dengan alam sekitar selalunya tidak diperakui atau ditangani, sama ada oleh para penganalisis dan penyelidik, pembuat dasar atau aktivis alam sekitar. Ini juga menyebabkan hakikat bahawa ramai wanita sendiri yang tidak memahami bagaimana persoalan alam sekitar memberi kesan terhadap mereka dan mereka tidak mendapat kemudahan untuk berbuat demikian. Sungguhpun begitu, persoalan alam sekitar bukan saja memberi kesan kepada wanita, kadangkalanya mendatangkan kesan kepada mereka dengan cara yang lebih berbanding dengan lelaki. Misalnya, disebabkan wanita pada umumnya bertanggungjawab terhadap pengurusan dan penjagaan rumahtangga, wanita terpaksa menanggung kebanyakan beban daripada kekurangan makanan dan air yang disebabkan oleh salah urus alam sekitar.

Justeru itu, dalam masyarakat luar bandar dan peribumi, wanita melangkah lebih jauh untuk mencari makanan, minyak dan sumber perubatan seperti herba disebabkan semakin banyak hutan yang ditebang untuk mendapatkan kayu balak, perladangan dan program pembangunan. Kadangkalanya mereka terpaksa menyertai pasaran pekerjaan kerana tidak dapat mencari sumber semula jadi secukupnya untuk menampung keluarga mereka. Ini bermakna bahawa wanita luar bandar atau peribumi mempunyai banyak pengetahuan luas tentang alam semula jadi. Mereka mengetahui misalnya khazanah perubatan daripada pokok-pokok atau berapa banyak buah petai yang boleh dipetik atau buluh yang boleh diambil tanpa pengurangan sumber terhadap alam sekitar. Dengan bertambahnya masalah alam sekitar, beban kerja dan tanggungjawab wanita juga meningkat. Apabila wabak penyakit seperti meletusnya wabak taun disebabkan penjagaan kebersihan yang buruk, bekalan air yang tidak bersih, pencemaran dan lain-lain, wanita memikul tanggungjawab merawat anggota keluarga yang sakit.  Oleh itu, penglibatan dan pembabitan wanita dalam pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar merupakan perkara yang sangat penting untuk meningkatkan mutu sumber daya manusia pada masa akan datang.

Asas yang paling mudah untuk menanam semangat cintakan alam sekitar ialah dengan cara mendidik masyarakat bagaimana menjaga kebersihan alam sekitar. Sifat wanita yang lebih teliti dan peka menjadikan mereka lebih menghargai anugerah Tuhan dengan menjaga dan melindungi alam sekitar daripada kemusnahan. Ini dapat dilihat dengan gaya hidup wanita yang mempunyai kediaman sendiri iaitu suka menghiasi rumah mereka dengan tanaman yang dapat memberi kesegaran serta mengekalkan kehijauan alam semulajadi. Tanaman hiasan seperti bunga, menjadi kebiasaan bagi kebanyakan wanita untuk menghiasi kediaman. Tanaman sebegini sebenarnya merupakan salah satu cara memelihara alam sekitar. Walaupun kelihatan sangat kecil manfaatnya, namun ia turut menyumbang kepada alam sekitar yang lebih sihat.

Wanita yang bijak seharusnya menguruskan sumber atau barangan yang telah terpakai dengan sistematik. Sampah sarap yang dihasilkan di rumah bukanlah punca yang menyumbang kepada pencemaran, tetapi ia boleh ditukar ganti menjadi sesuatu yang lebih berharga berdasarkan usaha yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui konsep 3M iaitu program kitar semula. Amalan kitar semula dikatakan adalah aktiviti yang paling berjaya dalam abad ke 20. Dengan mengamalkan aktiviti kitar semula, masyarakat dapat  mengurangkan pembaziran sumber alam yang amat bernilai. Contohnya, barangan seperti botol kaca boleh dijadikan perhiasan rumah atau digunakan semula. Kertas-kertas lama juga boleh dijadikan perhiasan dan juga boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan dengan menjual barangan perhiasan daripada bahan buangan ini. Hal ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa bahan yang telah terpakai ini masih boleh dimanfaatkan dan seterusnya memberi pulangan yang lumayan. Oleh itu, daya kreativiti dan kebijaksanaan adalah amat penting dalam menguruskan bahan buangan ini.

Wanita merupakan golongan terbesar yang berada dalam institusi-institusi pendidikan. Tidak kira apa status wanita, sama ada sebagai pendidik mahupun pelajar, wanita perlu sentiasa aktif dalam menjalankan program-program berkenaan alam sekitar. Program institusi itu, wajar diselitkan dengan program ke arah meningkatkan kefahaman dan kesedaran terhadap alam sekitar. Wanita menjadi penggerak kepada kempen penjagaan alam sekitar di kebanyakan institusi seperti institusi pendidikan dan pekerjaan. Sifat semulajadi wanita yang sukakan suasana yang bersih dan sihat mendorong mereka mementingkan penjagaan alam sekitar tidak kira dimana mereka berada. Dalam institusi pendidikan, wanita memainkan peranan dengan memberi kesedaran dan sokongan kepada pelajar supaya lebih prihatin terhadap alam sekitar dengan menjaga kebersihan persekitaran kelas atau institusi pendidikan.

Dalam konteks institusi mahupun agensi kerajaan, swasta ataupun badan bukan kerajaan, kesedaran dan keprihatinan terhadap alam sekitar harus dipertingkatkan.  Di dalam alam pekerjaan, wanita menjadi contoh kepada rakan sekerja dengan menunjukkan sikap dan etika yang baik terhadap alam sekitar dan seterusnya boleh dijadikan teladan. Sebagai seorang pemimpin pula, wanita berperanan sebagai model kepada para pekerja dalam menjaga alam sekitar. Selain kepada pekerja, wanita juga menjadi model kepada masyarakat. Contohnya, melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, para pemimpin wanita  menyebarkan maklumat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan langkah-langkah mengurangkan pencemaran alam sekitar. Kempen  seperti kitar semula dijalankan di seluruh negara dan kerap-kali dijalankan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.  Risalah-risalah berkenaan alam sekitar juga turut diedarkan bagi memberi kesedaran kepada seluruh lapisan masyarakat tentang pentingnya menjaga alam sekitar. Menurut kajian, ada banyak kebaikan sekiranya kitar semula diamalkan. Antaranya ialah dapat menjimatkan sumber alam untuk generasi akan datang, mengurangkan pengeluaran gas hijau dan pencemaran air, menjimatkan penggunaan tenaga, merangsang pertumbuhan teknologi hijau dan mengurangkan keperluan kepada pusat pembuangan dan pembakaran sampah.

Dalam konteks kejiranan pula, wanita boleh mempengaruhi jiran-jiran agar turut sama menjaga alam sekitar. Semangat kerjasama kejiranan dalam mempromosi alam sekitar dan kehidupan yang sihat merupakan satu kaedah inisiatif komuniti yang efektif. Dengan itu, sokongan harus diberikan kepada program-program yang berlandaskan kaedah tersebut. Masyarakat harus diberikan kesedaran supaya tidak mencemarkan alam sekitar kerana sumber-sumber dari alam sekitar sangat diperlukan. Manusia memerlukan air bersih, bekalan oksigen dan makanan dari alam sekitar. Jika keperluan ini tercemar, kehidupan masyarakat akan terganggu dan tidak sempurna. Alam sekeliling tercemar juga mengundang penyakit seperti denggi, taun dan keracunan. Antara amalan yang boleh dilakukan bersama ialah mengurangkan kuantiti sampah yang dihasilkan setiap hari. Hal ini bermakna sumber perlu dikurangkan penggunaannya dan mengurangkan juga pembuangannya. Barangan ini termasuk barang tahan lasak dan tahan lama serta bahan yang bebas toksik. Proses penyediaan bahan yang lebih lasak dan tahan lama mungkin lebih rumit tetapi kesan jangka panjangnya adalah lebih baik kerana ia tidak banyak menggunakan bahan sumber, boleh digunakan semula dan tidak perlu dibuang.

Seterusnya ialah wanita perlu menggalakkan penggunaan semula barang yang sedia ada sebagai salah satu cara untuk memberhentikan bahan buangan pada peringkat sumber kerana ia dapat melambatkan atau menahan kemasukan bahan itu ke dalam sistem pengutipan dan pembuangan sampah. Kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat mendapati bahawa dua hingga lima peratus daripada sampah yang dibuang sebenarnya boleh diguna semula. Seandainya masyarakat mengamalkan budaya ini, sampah yang menggunung banyaknya dapat dikurangkan di pusat pelupusan sampah. Wanita boleh mengamalkan cara ini dengan beberapa kaedah. Antaranya ialah menggunakan pinggan mangkuk dan perkakas yang boleh dibasuh dan diguna semula dan bukan jenis ‘disposable’. Penggunaan kertas tisu di rumah juga perlu dikurangkan dan digantikan dengan penggunaan sapu tangan yang boleh dibasuh dan diguna beberapa kali.  Kesedaran seperti ini harus dipupuk dalam masyarakat dan wanita adalah salah satu agen yang mampu membawa kesedaran ini.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan