Khamis, 29 Ogos 2013

Kemerdekaan Negara


Ikan haruan ikan seluang,
Pokok dipanjat oleh si kera;
Tokoh negarawan gigih berjuang,
Untuk mencapai kemerdekaan negara.

Pokok dipanjat oleh si kera,
Burung bangau di atas gajah;
Untuk mencapai kemerdekaan negara,
Bebas dari belenggu penjajah.

Burung bangau di atas gajah,
Di pagi hari udaranya nyaman;
Bebas dari belenggu penjajah,
Bebas dari pelbagai kezaliman.

Di pagi hari udaranya nyaman,
Turun ke sawah padi disemai;
Bebas dari pelbagai kezaliman,
Rakyat hidup aman dan damai.

Turun ke sawah padi disemai,
Tanah dipenuhi air berlinang;
Rakyat hidup aman dan damai,
Jiwa tenteram hati pun senang.

Tanah dipenuhi air berlinang,
Agar tumbuh tidaklah hampa;
Jiwa tenteram hati pun senang,
Hingga terleka dan terlupa.

Agar tumbuh tidaklah hampa,
Setelah menggunakan pelbagai cara;
Hingga terleka dan terlupa,
Akan pengorbanan pejuang negara.

Setelah menggunakan pelbagai cara,
Mendapat hasil berkat berbakti;
Akan pengorbanan pejuang negara,
Hendaklah dihargai dan diingati.

Mendapat hasil berkat berbakti,
Jangan lupa menangkap ikan;
Hendaklah dihargai dan diingati,
Segala jasa yang ditaburkan.

Jangan lupa menangkap ikan,
Ikan diletak di dalam kereta;
Segala jasa yang ditaburkan,
Untuk tanahair yang tercinta.

Ikan diletak di dalam kereta,
Pergilah ambil janganlah lupa;
Untuk tanahair yang tercinta,
Janganlah kita alpa.

Pergilah ambil janganlah lupa,
Boleh dibakar di atas bara;
Janganlah kita alpa,
Berwaspada sentiasa menjaga negara.
 
Boleh dibakar di atas bara,
Dipanggang juga ayam dan kerang;
Berwaspada sentiasa menjaga negara,
Bila-bila masa musuh boleh menyerang.

Dipanggang juga ayam dan kerang,
Hidangan sempena majlis kenduri;
Bila-bila masa musuh boleh menyerang,
Persiap dan majukanlah diri.

Hidangan sempena majlis kenduri,
Orang politik pandai berhujah;
Persiap dan majukanlah diri,
Agar negara tidak lagi dijajah.

Orang politik pandai berhujah,
Untuk menangkis cemuhan lawannya;
Agar negara tidak lagi dijajah,
Untuk buat selama-lamanya.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan