Memaparkan catatan dengan label Kesusasteraan Melayu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kesusasteraan Melayu. Papar semua catatan

Selasa, 27 Ogos 2013

Tsunami

   
Di pantai itu
Angin bertiup kencang
Cuaca tak secerah dan tak seindah biasa
Ombak yang menampar dengan kuat
Angin yang menderu-deru entah dari mana datangnya
Pohon nyiur
Melambai-lambai dengan kasarnya.

Pasir-pasir yang selalunya setia dengan pantai
Menjadi mainan ombak yang beralun
Tetapi
Pada hari itu
Pepasir takut untuk bermain dengan ombak
Tatkala ombak berhempas ke pantai
Pepasir melayang jauh entah ke mana
Meninggalkan ombak yang kesepian.

Ombak kelihatan lebih garang dan rakus
Mengaum dengan ganasnya
Kelembutan dan kehalusannya
Lenyap dengan serta-merta
Membuatkan makhluk lain berasa gerun
Serta sukar mencari sebab perubahannya.

Hidupan laut yang selalunya riang gembira di habitatnya
Menampakkan dirinya
Keluar berhijrah
Naik ke permukaan pantai
Tanpa rasa menyesal.

Dengan tak disangka-sangka
Gegaran berlaku dengan kuat
Menggoncang dan mengertak makhluk di muka bumi ini
Membuatkan mereka yang tidur terjaga
Bumi yang disangka tenang
Boleh memberontak
Dalam sekelip mata.

Pantai yang nyaman dan indah
Mengganas dengan tiba-tiba
Ombak yang menggila
Setinggi pohon nyiur
Air laut yang berkeladak
Melimpah-ruah setiap ruang tanah
Segalanya
Menjadi mangsa pukulan ombak.

Semuanya musnah
Bagai diserang garuda
Menjadi padang jarak padang tekukur
Kudrat yang ada tidak mampu melawan kuasa-Nya.

Mayat yang bergelimpangan diratapi
Kekuasaan dan keesaan-Nya diakui
Membuka mata kepada yang masih lena
Dibuai mimpi indah
Yang tidak pasti
Hanya Tuhan berkuasa atas segala-galanya…

Cermin Mataku Sayang

Tanpa kehadiranmu
Hidupku tiada bererti
Siang yang cerah menjadi malap dan kelabu
Keindahan alam yang indah menjadi sepi dan suram tanpa kau disisi.

Engkau hadir memberi sinar kehidupan padaku
Walaupun orang lain adakalanya hanya memandang remeh padamu
Tetapi aku,
Amat merayu dan menagih kasih sayangmu.

Saban hari
Kau mendampingiku
Walau ke mana aku pergi
Aku amat menghargaimu
Kerana kau ibarat nyawaku
Akan kubawamu hingga ke akhir hayatku.

Tetapi sayangnya,
Kau mempunyai kelemahan yang tersendiri
Yang amat aku pasti akan kelemahan tersebut
Dirimu mudah berderai
Membentuk serpihan halus
Pabila engkau dikasari.

Tetapi usahlah berasa gundah
Aku tidak akan akan membiarkan dirimu dikasari
Aku akan mempertahankan maruahmu
Walaupun nyawaku menjadi galang gantinya.

Aku akan menjagamu seperti seorang bayi
Membelai dirimu saban hari
Membersihkan dirimu daripada wabak penyakit
Akan ku lapkan dirimu menggunakan fabrik yang lembut
Agar kulitmu tidak berasa pedih.

Pabila malam ingin melabuh tirai
Entah mengapa aku tidak memerlukan dirimu lagi
Aku membiarkan engkau sepi dalam kegelapan malam
Engkau tidak lagi menemani dan menerangi kesamaranku
Seperti mana pada waktu siangnya

Wahai cermin mataku sayang
Janganlah engkau bersedih
Apabila mataku dibuka keesokan harinya
Akan ku gunakan perkhidmatanmu
Hinggalah malam menutupi tirainya
Kerana itulah rutinmu berbakti kepada tuanmu.

Pantun Teka-Teki



Membeli baju dan juga seluar, 
Untuk dipakai di majlis tertentu;
Buahnya kuning duri di luar,
Apakah namanya buah itu?


Nasihat diberi oleh bapa,
Untuk menghadapi sebarang cabaran;
Dianyam dengan daun kelapa,
Menjadi hidangan di hari lebaran.


Harum sungguh bunga Bakawali,
Menjadi penyeri di dalam taman;
Bendanya kecil tajam sekali,
Mencantum kain menjadi pakaian.


Sakitnya kaki bila tergeliat,
Berhati-hatilah ketika berlarian;
Diperbuat daripada tanah liat,
Menjadi peralatan kehidupan harian.


Bunga mawar bunga matahari,
Rama-rama datang menghinggap;
Kalau tuan bijak bistari,
Burung apa yang boleh bercakap?


Jem dibuat daripada nanas,
Dimasukkan juga biji bijan;
Amat berguna di hari panas,
Amat diperlukan di hari hujan.


Di subuh hari ayam berkokok,
Walaupun sejuk berjaya ditangkis;
Datangnya ia daripada pokok,
Boleh ditulis, dibaca dan dilukis.


Jawapannya... : 

Durian
ketupat
jarum
 barangan tembikar
 burung kakak tua
 payung
 buku

Khamis, 6 Jun 2013

Sahabat


Sahabat
Kau umpama jambangan bunga yang berwarna-warni
Merah, kuning,ungu dan putih
Yang sentiasa harum semerbak
Di taman hatiku.

Sahabat
Aku tidak akan membiarkan jambangan bunga itu layu
Akan kusiramnya dengan dengan kesetiaan
Akan kubelainya dengan kasih sayang
Agar kuntuman bunga itu sentiasa mekar.

Sahabat
Tidak ku sangka-sangka
Jambangan bunga yang aku jagai
Layu jua akhirnya
Gugur ke tanah.

Sahabat
Aku amat merindui jambangan bunga itu
Kecantikan dan keharumannya
Aku tidak akan melupainya
Walaupun tumbuh mekar jambangan bunga yang baru.
 

Perjuangan Kehidupan


Kehidupan ibarat bahtera
Terumbang-ambing mengharung gelombang
Dengan tiupan angin kencang
Hanya semangat kental mampu melaluinya
Tanpa terus dihanyut oleh arus deras
 
Perjuangan harus diteruskan
Menuju destinasi yang abadi
Mengemudi agar tidak tersasar
Dari haluan yang sebenar

Dunia ini tempat persinggahan sementara
Sebelum menuju alam akhirat yang abadi

Jalannya pasti akan ketemu jua
Jika terus berusaha
Sinar kejayaan dan kebahagiaan pasti ada...

Berusahalah...
Menyusur lautan ini
Dengan hati yang tenang
Pasti akan berjaya jua ke tempat yang ingin dituju....