Memaparkan catatan dengan label Sabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sabah. Papar semua catatan

Rabu, 16 Oktober 2013

Spesis Haiwan di Sabah



harimau


Antara gambar-gambar menarik haiwan yang terdapat di Sabah. 
Kunjungilah Sabah jika anda ingin melihat lebih dekat.

Pemandangan Alam Semulajadi di Sabah

Gunung
















Bunga








Pelancongan, terutamanya eko-pelancongan, merupakan penyumbang utama kepada ekonomi Sabah. Antara destinasi yang menjadi tarikan utama pelancong adalah seperti Kolam air panas Poring, Tanjung Simpang Mengayau, Taman Pertanian Sabah, Taman Hutan Hujan Sandakan, Gunung Kinabalu, Lembah Danum, Sungai Padas, Pulau Sipadan, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Long Pasia, Taman Pulau Penyu dan Monyet Proboscis Teluk Labuk.

Sumber : Wikipedia

Rabu, 28 Ogos 2013

Sumbangan Masyarakat Ke Arah Pemangkin Pembangunan Industri Pelancongan Di Bandaraya Kota Kinabalu

          Dewasa ini, industri pelancongan negara kita semakin maju dan berkembang seiring dengan kepesatan sains dan teknologi maklumat (ICT) di era yang semakin mencabar ini. Industri pelancongan merupakan salah satu daripada sumber pendapatan negara selain daripada hasil pertanian, perindustrian, perikanan dan sebagainya. Malah, industri ini amat ditekankan oleh kerajaan hingga tertubuhnya Tahun Melawat Malaysia yang dilaksanakan oleh kerajaan. Penubuhan Tahun Melawat Malaysia adalah untuk menggalakkan masyarakat sama ada masyarakat di dalam mahupun di luar negara untuk melancong dan mengisi masa lapang dengan melawati tempat-tempat menarik di Malaysia. Bak kata pepatah ‘tak kenal maka tak cinta’. Oleh itu, masyarakat disarankan untuk merasai sendiri keindahan, kesemulajadian serta keseronokan bercuti di Malaysia.

Bandaraya Kota Kinabalu merupakan salah satu destinasi pelancongan yang menarik di Malaysia. Hal ini terbukti dengan terdapat pelbagai tempat-tempat yang menarik untuk kunjungan orang ramai contohnya muzium berasaskan reka bentuk rumah panjang kaum Murut dan Rungus serta terdapat beberapa galeri pameran, gambar-gambar lama, rekabentuk rumah bagi suku kaum-suku kaum di Sabah dan sebagainya. Selain itu, terdapat Taman Tuanku Abdul Rahman. Taman ini terletak tidak jauh dari bandaraya Kota Kinabalu dan hanya mengambil masa dua puluh minit perjalanan dengan menaiki bot laju. Taman ini merupakan gabungan lima buah pulau iaitu Pulau Manukan, Pulau Sapi, Pulau Mamutik, Pulau Sulug dan Pulau Gaya. Taman Tuanku Abdul Rahman kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna dan sesuai bagi aktiviti “snorkeling” serta perkelahan. Pasar Filipina, Pantai Tanjung Aru, Taman Tun Fuad Stephen juga terdapat di bandaraya Kota Kinabalu. Justeru itu, bandaraya Kota Kinabalu merupakan destinasi  yang amat menarik dan wajar untuk dikunjungi. Di samping itu, masyarakat juga harus memberi sumbangan ke arah memangkin pembangunan industri pelancongan di bandaraya Kota Kinabalu selain daripada usaha kerajaan yang berterusan untuk menjadikan bandaraya Kota Kinabalu sebuah destinasi pelancongan yang terkenal.

Antara sumbangan masyarakat ke arah pemangkin pembangunan industri pelancongan di bandaraya Kota Kinabalu ialah dengan memelihara alam sekitar daripada kemusnahan. Contohnya masyarakat harus prihatin dengan melaksanakan sesuatu perkara secara berhemah dan tidak merosakkan alam sekitar. Contohnya penebangan hutan yang melampau serta membuang sampah ke tempat yang betul. Kebersihan harus dipelihara dengan sebaiknya. Masyarakat tidak harus membiarkan sampah sarap bergelimpangan di sungai-sungai serta tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Sampah sarap akan mencemarkan alam sekitar serta merosakkan pandangan dan boleh mengakibat pelbagai kesan buruk contohnya penyakit, banjir kilat dan sebagainya. Oleh itu, orang ramai harus menjaga dan memelihara alam sekitar daripada kemusnahan. Di samping itu, penebangan hutan secara melampau di Kota Kinabalu adalah tidak wajar dan merosakkan flora dan fauna semulajadi di situ. Hal ini mengakibatkan tiada lagi unsur alam yang menarik dan dapat dikongsi bersama dengan masyarakat luar. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana melalui unsur-unsur alam inilah menjadikan Kota Kinabalu sebuah tempat yang unik dan menarik. Oleh itu, masyarakat harus bekerjasama menjaga alam sekitar daripada musnah.

Selain itu, masyarakat harus memberi kerjasama yang sewajarnya kepada kerajaan dalam menjadikan industri pelancongan di  bandaraya Kota Kinabalu semakin berkembang. Hal ini kerana tanpa galakan dan sokongan rakyat industri pelancongan ini tidak akan maju dan bertahan. Rakyat harus memberi sokongan yang padu kepada kerajaan dengan menyahut seruan kerajaan melalui kempen ‘Cuti-cuti Malaysia’. Bercuti di dalam negara adalah lebih baik dan menjimatkan. Selain itu, rakyat sepatutnya mempromosikan pelancongan negara kepada penduduk negara lain. Masyarakat harus menggalakkan sahabat handai, saudara mara yang tinggal di negara lain untuk berkunjung ke Malaysia. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu membangunkan industri pelancongan di negara kita. Peranan masyarakat dalam membangunkan industri pelancongan adalah sangat penting dan masyarakat merupakan  penggerak pembangunan industri pelancongan negara.

Seterusnya, masyarakat harus mengekalkan keharmonian dan kedamaian di negara kita melalui sikap bekerjasama, perpaduan di dalam berbilang kaum dan wujudnya persefahaman di antara satu sama lain. Keharmonian dan kedamaian akan menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara. Tanpa permuafakatan rakyatnya, sesebuah negara tidak akan membangun dan mencapai kemajuan. Oleh itu, industri pelancongan amat memerlukan rakyat yang harmoni agar industri ini terus membangun dan mencapai matlamatnya.

Selain itu, rakyat Kota Kinabalu harus mengekalkan budaya, adat resam dan cara hidup yang diwarisi agar dapat dihayati oleh masyarakat luar. Paling menarik ialah pelancong boleh menghayati segmen budaya dan warisan memandangkan negeri ini unik dengan kepelbagaian kaum kerana dikatakan terdapat lebih tiga puluh dua suku yang tinggal di beberapa kawasan dan mewarisi perbezaan cara hidup, pakaian, perayaan, tarian dan muzik. Oleh itu, masyarakat dapat mempelajari budaya masyarakat di Sabah yang berbilang kaum. Sesungguhnya, adalah amat penting rakyat negeri Sabah berusaha untuk mengekalkan budaya dan warisan tinggalan nenek moyang daripada terus hanyut ditelan zaman. Hal ini kerana warisan dan budaya inilah yang patut dipertahankan untuk generasi akan datang.

Kesimpulannya, industri pelancongan di bandaraya Kota Kinabalu memerlukan kerjasama dari masyarakat agar terus maju. Oleh itu, sumbangan masyarakat dalam pembangunan industri pelancongan adalah amat diperlukan dan dihargai. Tanpa sumbangan ini, industri pelancongan tidak akan mencapai matlamatnya. Sesungguhnya, dengan berkembangnya industri pelancongan di bandaraya Kota Kinabalu sekaligus  membangunkan industri pelancongan negara. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi serta meninggikan taraf hidup rakyat.