Sabtu, 31 Ogos 2013

Tajuk Esei : Adakah pengguna terlalu obses dengan produk kosmetik? Kongsikan pendapat anda


Dewasa ini, terdapat pelbagai produk kosmetik yang berada di negara kita sama ada buatan tempatan mahupun yang diimport. Antara jenama produk kosmetik yang boleh didapati ialah Simply Siti, Safi, Shurah, Tia Amelia, Olay, Avon dan banyak lagi. Apakah yang dimaksudkan dengan kosmetik? Berdasarkan Kamus Pelajar, kosmetik bermaksud alat solek atau bahan yang digunakan untuk mencantikkan rupa seseorang. Oleh yang demikian, penggunaan produk kosmetik dapat menjadikan rupa paras lebih cantik dan menarik dari segi fizikal. Antara produk kosmetik yang digunakan ialah krim kecantikan, maskara, gincu, bedak dan sebagainya. Penampilan fizikal iaitu dibahagian muka amatlah dititikberatkan setiap wanita terutama ketika berhadapan dengan orang ramai. Justeru itu, penggunaan produk kosmetik yang sesuai amat diperlukan agar mereka kelihatan lebih cantik dan menarik.



Wanita dan kecantikan memang tidak dapat dipisahkan. Malah perumpamaan Melayu seperti rambut ikal bak mayang mengurai, mata bersinar bak bintang kejora, pipi licin bagai pauh dilayang, bibir mongel ulas limau, pinggang ramping bak kerengga, kulit putih gebu bak telur rebus dikupas dan pelbagai lagi menggambarkan kecantikan lahiriah wanita yang sempurna. Produk kosmetik yang dahulunya dianggap tidak penting kini menjadi satu keperluan kepada pengguna. Wanita kini yang maju dari segi pendidikan dan ekonomi, amat menitikberatkan kecantikan dalam hidup mereka. Produk kosmetik menjadi kemestian agar penampilan mereka menjadi lebih menarik dan nampak hebat sehinggakan mereka terlalu obses dengan produk kosmetik tanpa memikirkan baik dan buruk sesuatu produk. Apa sahaja yang membuatkan mereka cantik, mereka sanggup mencuba dan terus mencuba tanpa memikirkan risikonya.



Pada Jun 2008, niat seorang suri rumah iaitu Noraini Jaafar yang berumur 47 tahun, untuk menegangkan kulit muka serta menyerikan wajah yang sudah berusia menjadi mimpi ngeri apabila krim kosmetik yang digunakan menyebabkan wajahnya menjadi lebam dan berwarna kehitaman seperti dibakar. Mangsa terpaksa menjalani rawatan psikiatri di sebuah hospital kerana hilang keyakinan. Soalnya, adakah wanita tersebut mendapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan krim kosmetik tersebut? Jika ya, mustahil perkara ini akan berlaku. Hal ini jelas menunjukkan bahawa wanita tersebut menggunakan produk tanpa nasihat pakar serta tidak mengetahui bahan yang terkandung dalam produk tersebut mengandungi bahan yang berbahaya hingga boleh merosakkan kulit. Oleh itu, setiap wanita sebelum menggunakan sesuatu produk harus mendapat nasihat pakar dan mengetahui kandungan produk agar kes ini tidak berulang.



Kes di atas telah membuktikan bahawa pengguna pada masa kini terlalu obses dengan produk kosmetik kerana tidak meneliti dahulu kandungan produk kosmetik sebelum menggunakannya. Kurang kesedaran dan pengetahuan mengenai bahaya kandungan produk di samping ingin mengambil jalan pintas untuk kelihatan cantik menyebabkan pengguna berdepan risiko yang boleh membawa maut. Ada yang mengambil produk tanpa mematuhi peraturan sehingga mengundang kemudaratan. Ada juga yang sanggup pejam sebelah mata terhadap kandungan bahan kimia berbahaya asalkan hajat mereka tercapai. Pengguna yang obses dengan produk kosmetik tidak memikirkan buruk dan baik sesuatu produk yang dipakai. Pengguna tidak meneliti bahan yang terkandung dalam sesuatu produk kosmetik. Terdapat sesetengah produk kosmetik di pasaran mengandungi bahan kimia beracun yang boleh memudaratkan pengguna contohnya steroid. Justeru itu, pengguna harus lebih peka dalam membeli sesuatu produk serta mendapat nasihat pakar jika perlu. Kulit yang sensitif dan tidak sesuai dengan sesuatu produk juga menyebabkan kesan buruk pada kulit dan kesihatan.



Selain itu, saya mengatakan wanita terlalu obses dengan produk kosmetik kerana mereka sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk membeli produk kosmetik dengan harga yang mahal. Pengguna merasakan harga yang tinggi tidak penting asalkan mereka kelihatan lebih cantik dan menarik. Tiap-tiap bulan pengguna akan memperuntuk wang yang banyak tanpa memikirkan tabungan masa depan keluarga dan anak-anak. Wang ringgit dilaburkan hanya untuk kecantikan luaran tanpa memikirkan kecantikan dalaman yang patut juga dipelihara. Wanita kini tidak sedar bahawa kecantikan bukanlah sekadar dari segi paras rupa sahaja tetapi hati juga turut berperanan. Kecantikan dalaman haruslah seiring dengan kecantikan luaran.



Pengguna yang bijak haruslah membelanjakan wang yang ada mengikut keperluan dan kemampuan. Pengguna juga harus berfikir dahulu sebelum membeli sama ada sesuatu produk itu adalah sesuai atau tidak dengannya. Keghairahan wanita untuk cantik membuatkan mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan memberi kesan yang cepat tanpa memikirkan kesan negatif.



Terikut-ikut dengan gaya artis yang diminati juga menyebabkan pengguna terlalu obses dengan produk kosmetik. Hal ini kerana pengguna mahu mengikut cara penampilan artis yang diminati sama ada dari segi pakaian hinggalah produk kosmetik yang digunakan oleh artis tersebut. Pengguna ingin kelihatan cantik dan bergaya seperti artis yang dilihat di media massa. Selain itu, artis atau model cantik yang menjadi duta sesuatu produk juga menggalakkan pengguna membeli produk kosmetik yang dipasarkan. Hal ini kerana mereka mahu cantik seperti duta produk kecantikan tersebut.



Pengguna seharusnya sedar bahawa sesetengah kandungan produk kosmetik mungkin sesuai dan selebihnya tidak sesuai bagi seseorang sehingga jika pengambilannya salah, ia boleh mengundang padah. Hal ini kerana ada pengguna yang alah dengan kandungan bahan dan menyebabkan ia tidak  sesuai untuk digunakan. Pengguna janganlah mudah terpedaya dengan iklan menggunakan model cantik yang lazimnya membuatkan kita cepat tergoda. Pengetahuan mengenai produk harus diambil kira. Cara memakai produk kecantikan juga jangan diabaikan sebab tangan yang tidak dibersihkan dengan betul boleh mengundang padah. Oleh itu, kita sebagai pengguna janganlah mudah terpengaruh dengan kecantikan artis dan model-model kerana jika kita menggunakan produk yang sama dengan model tersebut belum tentu akan kelihatan cantik tetapi tidak mustahil akan menjadi lebih buruk.



Di samping itu, kehidupan kini yang mengalami perubahan dan peningkatan dalam pelbagai bidang sama ada dalam bidang teknologi maklumat, pengangkutan, pendidikan membuatkan pengguna bergerak seiring dengan kepesatan dunia. Wanita kini yang lebih mementingkan kerjaya dalam kehidupan tidak lagi mundur dalam bidang ekonomi. Wanita kini setanding dengan kaum Adam dalam semua bidang. Wanita dahulu yang tinggal di rumah dengan  berkain batik dan berbaju kurung kedah di rumah kini telah bersedia bersama-sama kaum Adam keluar bekerja. Mereka tidak lagi menjadi suri rumah tangga sepenuh masa tetapi turut sama-sama berjuang membangunkan ekonomi. Justeru itu, penampilan wanita ini haruslah seiring dengan kerjaya mereka. Tanpa produk kosmetik, hidup dirasakan kurang sempurna hingga mereka terlalu obses dengan produk kosmetik. Semakin ramai wanita berjawatan tinggi dalam kerjaya semakin tinggilah permintaan terhadap produk kosmetik. Permintaan yang tinggi terhadap produk kosmetik inilah menyebabkan berlakunya kebanjiran terhadap produk dalam negara sama ada diimport mahupun keluaran dalam negara. Wanita yang berkerjaya akan tampil menarik setanding dengan jawatan yang disandang.



Fitrah wanita itu sendiri yang amat menitikberatkan kecantikan juga menyebabkan mereka terlalu obses dengan produk kosmetik. Wanita dan kecantikan memang tidak dapat dipisahkan dari hujung rambut hingga hujung kaki. Semua wanita ingin kelihatan cantik tidak kira tua atau muda. Golongan berusia menjaga penampilan mereka melalui cara yang tersendiri manakala golongan muda juga turut melalui kaedah yang tertentu. Semua wanita ingin kelihatan cantik dan bergaya.  Wanita mempunyai sembilan nafsu manakala lelaki hanya mempunyai satu nafsu. Salah satu nafsu wanita ini ialah untuk mendapatkan kecantikan. Lantaran itu, tidak wujud istilah berputus asa dalam hidup mereka. Mereka akan terus berusaha untuk kelihatan cantik walaupun ada sesetengah kaedah yang agak membahayakan. Justeru itu, tidak hairanlah mereka terlalu obses dengan produk kecantikan.



Wanita yang obses dengan produk kosmetik juga sanggup mencuba pelbagai produk kosmetik yang berada di pasaran. Mereka akan mencuba dan terus mencuba. Penggunaan alat kosmetik akan berubah mengikut peredaran zaman sepertimana fesyen pakaian. Produk kosmetik yang lama akan ditinggalkan dan digantikan dengan produk kosmetik jenama terkini. Syarikat-syarikat produk kosmetik juga turut mengambil kesempatan dengan mengeluarkan pelbagai produk mengikut citarasa pengguna yang kadang-kala tidak mementingkan mutu dan mendapat kelulusan kementerian. Ada juga barangan tiruan dengan mengambil label produk lain untuk produk mereka. Produk kosmetik tiruan inilah amat ditakuti dan membahayakan pengguna kerana produk mereka tidak mendapat kelulusan daripada kementerian. Pengguna janganlah mudah tertipu dengan membeli produk tiruan ini. Pengguna hendaklah meneliti sebelum membeli dan syarikat yang mengeluarkan produk asal hendaklah mengambil langkah berhati-hati contohnya membuat cop hologram untuk produknya.



Selain itu, perspektif atau pandangan berbeza masyarakat terhadap wanita yang cantik dan wanita kurang menarik juga menjadi punca pengguna obses kepada produk kosmetik. Apabila masyarakat banyak memberi peluang dan laluan mudah kepada wanita cantik dan menarik dari segi luaran, manakala wanita kurang menarik menerima laluan agak sukar. Keadaan itu menjadikan wanita tertekan. Contohnya wanita cantik mudah mendapat pekerjaan kerana mereka memiliki kecantikan luaran yang dapat meyakinkan majikan untuk mengambilnya bekerja manakala wanita yang kurang menarik agak sukar untuk diterima bekerja. Oleh itu, wanita sedaya upaya untuk kelihatan cantik dan memilih produk kosmetik dengan harapan mereka akan lebih menarik.



Kesimpulannya, pengguna yang bijak harus berfikir dahulu sebelum membeli sesuatu barangan. Tidak salah untuk menjaga kecantikan dan penampilan diri tetapi hendaklah mengikut kemampuan dan keperluan. Jangan mengikut hawa nafsu tanpa memikirkan baik dan buruk sesuatu barangan. Pengguna hendaklah lebih peka kandungan bahan dalam sesuatu barangan kosmetik. Sikap berwaspada dapat mencegah sesuatu perkara tidak baik. Pihak pengeluar produk kosmetik juga jangan hanya mementingkan keuntungan yang ingin dicapai tanpa menjaga kepentingan pengguna. Sikap tidak bertanggungjawab boleh menyebabkan  terjadinya sesuatu perkara buruk terhadap pengguna. Kita sebagai pengguna berhak untuk membuat pilihan yang terbaik dan jangan membeli membuta tuli tanpa mengetahui akibatnya.




Sesungguhnya, pengguna yang bijak dapat menyelamatkan diri mereka dari kemudaratan. Ingatlah kecantikan rohani lebih penting dan mulia berbanding kecantikan fizikal yang hanya sementara. Membuat sesuatu perkara janganlah keterlaluan hingga diri sendiri yang menderita. Kerajaan haruslah memantau dari masa ke semasa pengeluaran dan penjualan produk kosmetik di Malaysia. Tindakan yang tegas harus diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. Secara keseluruhannya, peranan pengguna itu sendiri, masyarakat dan kerajaan mampu mengatasi masalah produk kosmetik yang melanggari undang-undang. Sesungguhnya, kerjasama semua pihak dapat menghindari perkara tidak baik berlaku kepada pengguna.
 

Harta Intelek Sumber Kekayaan Baru Negara


Dewasa ini, masalah cetak rompak adalah perkara yang tidak asing lagi bagi negara kita. Masalah ini sudah berlaku sejak sekian lama dan pelbagai usaha telah dijalankan bagi menangani masalah ini. Pemantauan, penangkapan dan penguatkuasaan telah dibuat oleh pihak berkuasa tetapi tidak menampakkan sebarang hasil yang positif. Malah, segala usaha yang dijalankan ini hanyalah memberi kesan yang sementara dan tidak memberi apa-apa makna sama ada kepada pihak yang melakukan kesalahan tersebut dan juga pembeli barangan cetak rompak tersebut. Masyarakat hanya bersikap ‘acuh tidak acuh’ dan tidak memandang serius  undang-undang yang digubal oleh kerajaan.

 Apakah yang harus dibuat lagi oleh pihak kerajaan agar harta intelek negara kita ini terus terpelihara? ‘Tepuk dada tanyalah selera’. Masyarakat harus bekerjasama membantu pihak berkuasa memikul tanggungjawab ini dalam usaha membanteras gejala cetak rompak. Masyarakatlah yang sering berhadapan dengan orang ramai sama ada peniaga, penjawat kerajaan atau sebagainya serta lebih mengetahui aktiviti atau kesalahan-kesalahan yang dilakukan. Masyarakat seharusnya melaporkan perbuatan yang tidak beretika ini kepada pihak berkuasa agar pihak yang bersalah dapat dihadapkan ke muka pengadilan. Masyarakat juga harus bekerjasama dengan membeli barangan yang asli contohnya cakera padat video (VCD) dan katakan ‘tidak’ pada barangan cetak rompak. Sesungguhnya, peranan masyarakat amat penting dalam membanteras gejala cetak rompak di negara kita di samping undang-undang sedia ada yang telah digubal.

Masalah cetak rompak ini bukan sahaja melumpuhkan ekonomi individu yang menghasilkan karya atau sesuatu produk malah melibatkan negara. Hal ini kerana harta intelek merupakan salah satu sumber pendapatan negara dalam usaha untuk memajukan negara. Hasil pendapatan harta intelek ini akan dapat  diguna untuk menjalankan projek-projek pembangunan dan sekaligus dapat menguruskan negara dengan baik. Harta intelek boleh didefinisikan sebagai hasil kreativiti, pemikiran atau intelek seseorang yang unik, baru dan mempunyai nilai di pasaran. Harta intelek merangkumi pelbagai perkara seperti paten, hakcipta, cap dagangan, rekabentuk perindustrian, rekabentuk susunatur litar bersepadu dan juga petunjuk geografi yang mempunyai pelaksanaan idea yang bernas di dalamnya.

Harta intelek ini perlu dilindungi agar dapat menjaga kepentingan pihak yang menghasilkan ciptaan tersebut dan seterusnya dapat menjamin sumber kekayaan baru negara kita terpelihara. Hal ini kerana harta intelek merupakan hasil daripada pemikiran manusia yang mempunyai pemikiran yang kreatif, inovatif serta semangat yang tinggi untuk menghasilkannya. Hanya manusia tertentu sahaja mampu menghasilkan ciptaan yang berdaya tinggi itu. Harta intelek ini amat bernilai dan berharga serta sukar untuk mendapatkannya. Oleh itu, ciptaan yang berjaya dihasilkan perlu mendapat tempat yang tinggi dalam kalangan masyarakat dan negara serta tidak sewenang-wenangnya diperlakukan dengan perkara yang negatif terhadap hasil ciptaan tersebut untuk kepentingan pihak yang tidak bertanggungjawab. Hasil ciptaan ini layak mendapat pasaran tinggi yang menjadi aset penting dalam ekonomi negara.

Antara kepentingan harta intelek dalam menjadikan sumber kekayaan baru negara ialah harta intelek penting dalam menghasilkan produk-produk baru yang tiada di pasaran. Seperti yang telah diketahui harta intelek memang sukar dihasilkan dan memerlukan pemikiran seseorang yang kreatif, inovatif serta kesungguhan. Ilmu pengetahuan juga penting dalam merealisasikan produk yang diinginkan. Hal ini membolehkan banyak ciptaan produk-produk baru dihasilkan yang tidak terjangkau oleh pemikiran manusia normal. Produk yang dihasilkan boleh di pasarkan sama ada pasaran tempatan mahupun luar negara. Hal ini dapat menambahkan pendapatan negara dan seterusnya meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Selain itu, harta intelek dapat mengurangkan pergantungan ekonomi negara kepada komoditi-komoditi seperti getah, kelapa sawit, koko dan sebagainya. Hasil galian yang tidak boleh diperbaharui juga dapat dikurangkan eksportnya seperti emas, bijih timah, minyak mentah, gas asli dan sebagainya. Hal ini membolehkan negara menambahkan lagi sumber pendapatan dan mempunyai alternatif lain dalam pasaran import dan eksport selain pasaran yang sedia ada. Permintaan yang tinggi terhadap barangan negara membolehkan negara menjadi sebuah negara yang maju pada satu masa nanti berbanding sekarang negara kita hanya dalam lingkungan negara sedang membangun. Oleh itu, negara memerlukan lebih usaha untuk terus berjaya dan setanding dengan negara maju yang lain.  Justeru itu, wajarlah harta intelek diberi perlindungan dalam usaha memartabatkan ekonomi dan menaikkan nama negara.

Harta intelek juga membolehkan negara kita bertambah maju dari segi ekonomi dan terkenal melalui penghasilan produk atau ciptaan yang dihasilkan. Contohnya di peringkat antarabangsa, terdapat beberapa cap dagangan ternama yang melambangkan kemajuan sesebuah negara. Apabila disebut sesuatu jenama, maka ia terus sahaja dikaitkan dengan negara tertentu. Misalnya, jenama Nokia mengharumkan negara Finland, jenama Samsung dikaitkan dengan Republik Korea, sementara Sony, Matsushita dan Toyota merupakan jenama yang membanggakan negara Jepun di peringkat antarabangsa. Di Malaysia, jenama seperti Petronas telah memperkenalkan Malaysia ke seluruh dunia. Pelabur asing juga akan turut melabur di negara kita dengan memberi sumbangan dalam bentuk modal dan ilmu pengetahuan setelah yakin dan percaya bahawa harta intelek yang dilaburkan terpelihara daripada sebarangan penyelewengan. Pelaburan asing ini sedikit sebanyak dapat membangkitkan nama negara kita di peringkat antarabangsa. Oleh itu, harta intelek patutlah dipelihara dengan sebaiknya agar negara kita terus pesat membangun menuju era yang penuh mencabar ini.

Langkah-langkah untuk menjadikan harta intelek sebagai sumber kekayaan baru negara ialah dengan membudayakan pemikiran inovasi dalam kalangan pelajar melalui sistem pendidikan ibarat ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Sistem pendidikan di Malaysia seharusnya mampu menjana pemikiran pelajar ke arah yang berinovasi, kreatif dan berkebolehan dalam menyelesaikan masalah serta membuat sebarang perancangan. Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mahu pemikiran inovasi dibudayakan dalam kalangan rakyat Malaysia termasuk pelajar bagi membangunkan harta intelek yang akan menjana kekayaan baru negara di masa depan. Menurut Timbalan Perdana Menteri, sejarah telah membuktikan negara yang tidak mempunyai sumber semula jadi seperti Jepun dan Finland, boleh menjadi maju setelah meningkatkan tahap sumber manusia untuk membangunkan ekonomi mereka. "Masa depan negara kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada sumber semula jadi seperti getah, kelapa sawit ataupun minyak mentah dan gas asli. Tetapi ia juga perlu berteraskan modal insan yang kita ingin perkukuhkan dalam pembangunan masyarakat dan ekonomi," katanya. Oleh itu, kita harus sedar pembangunan sumber manusia adalah amat penting dalam usaha untuk membangunkan ekonomi negara terutama dalam bidang harta intelek. Modal insan yang dilatih sejak kecil menjadikan pemikiran semakin berkembang dan mampu membawa perubahan yang amat membanggakan di masa hadapan.

Langkah seterusnya ialah dengan memberi perlindungan yang sewajarnya terhadap harta intelek yang dihasilkan. Undang-undang kawalan harta intelek yang termasuk di bawahnya berbagai-bagai akta, seperti Akta Hak Cipta, Akta Cap Dagangan, Akta Reka Bentuk, Akta Cakera Padat dan lain-lain, adalah bertujuan melindungi hak individu atau syarikat daripada dicerobohi dengan sewenang-wenangnya oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Agama Islam sendiri melarang umatnya melakukan perbuatan yang melumpuhkan ekonomi seseorang setelah seseorang itu bersusah payah untuk menghasilkannya. Perbuatan ini adalah amat keji di sisi agama dan mendapat balasan di akhirat kelak. Kawalan undang-undang merupakan usaha kerajaan untuk memastikan harta intelek ini terus terpelihara dan membuktikan kesungguhan kerajaan bahawa harta intelek ini amat penting dalam pembangunan ekonomi negara kita.

Demi memastikan bahawa harta intelek ini mampu menjadi sumber kekayaan baru negara ialah dengan memberi galakan kepada ciptaan yang telah dihasilkan. Kerajaan  akan memberi hadiah atau faedah istimewa apabila seseorang atau sesebuah ahli kumpulan mampu menghasilkan ciptaan yang mampu memberi impak positif terhadap negara terutamanya kepada penjawat awam yang mampu melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin. Hal ini dapat memberi dorongan kepada seseorang untuk terus berusaha agar dapat menghasilkan yang terbaik. Mereka tidak akan berasa was-was dan bekerja dengan bersungguh-sungguh. Mereka percaya segala hasil penat lelah mereka akan dihargai dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan negara.

Kesimpulannya, harta intelek mampu menjadi sumber kekayaan baru negara melalui usaha yang bersungguh-sungguh dan bersemangat tinggi. Harta intelek negara perlu dipelihara dengan sebaiknya dan diletakkan  di tempat yang tinggi agar tidak di pandang oleh negara lain bahawa negara kita sebagai sebuah negara yang tidak menghormati dan menghargai karya atau hasil dari rakyatnya. Harta intelek ini membolehkan negara kita lebih maju dan terkenal di masa hadapan. Sesungguhnya, harta intelek mampu membawa perubahan kepada ekonomi negara dan seterusnya dapat dimanafaat oleh rakyat. Oleh itu, marilah bersama-sama membanteras gejala negatif yang melibatkan harta intelek agar negara kita terus maju dan menjadi menjadi negara maju pada suatu hari nanti.

Khamis, 29 Ogos 2013

Penganjuran Le Tour de Langkawi Memajukan Industri Sukan, Pelancongan dan Ekonomi Negara



Le Tour de Langkawi (LTdL) merupakan perlumbaan berbasikal terulung di Asia yang telah dimulakan pada tahun 1996. Kini, LTdL akan membuka tirainya pada 23 Januari hingga 1 Februari pada tahun ini. LTdL telah menarik penglibatan bukan sahaja peserta dari dalam negara malah seluruh dunia. Perlumbaan berbasikal ini, dapat mewujudkan semangat kesukanan dan seterusnya mengamalkan cara hidup yang sihat di seluruh negara. LTdL telah mendapat sijil pengiktirafan daripada Kejohanan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada edisi 2010. Sijil pengiktirafan ini merupakan pengiktirafan kali pertama sepanjang tertubuhnya LTdL yang membuktikan bahawa perlumbaan basikal adalah sukan yang berdaya maju. Penganjuran LTdL memberi banyak sumbangan dalam kemajuan negara.

Salah satu sumbangan penganjuran LTdL ialah dapat memajukan industri sukan negara melalui penglibatan dan kecemerlangan acara ini yang mewujudkan platform di mana negara-negara berkumpul dan bersama berganding bahu menjayakankan acara berbasikal yang terulung ini. LTdL adalah salah satu cabang acara yang mampu menarik negara luar untuk menyertai seterusnya mengikuti acara ini pada masa kini dan akan datang. Acara ini adalah setanding dengan sukan teras yang lain contonhya olahraga, badminton, bola sepak, gimnastik, hoki dan sebagainya. Kejayaan negara mengendalikan LTdL membuktikan bahawa kita mampu menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij dunia yang lengkap dengan pelbagai kemudahan prasarana. Oleh itu, LTdL mampu memajukan industri sukan kerana penglibatan dari negara luar dan kejayaan yang diperoleh dari kerjasama antara negara. Secara tidak langsung, LTdL dapat mewujudkan satu acara baru dan tidak bergantung pada sukan teras yang sedia ada. Oleh itu, industri sukan dapat dibangunkan.

Selain itu, penganjuran LTdL juga dapat memajukan industri pelancongan negara. Hal ini kerana penganjuran LTdL dapat memperkenalkan negara Malaysia ke seantero dunia. Malaysia dapat dipromosi ke seluruh dunia dengan kos yang rendah melalui siaran langsung LTdL ke seluruh dunia. Peserta-peserta yang menyertai LTdL akan membawa keluarga mereka melancong di Malaysia setelah menikmati sendiri keindahan dan kedamaian yang terdapat di Malaysia. Negeri-negeri yang terlibat dengan LTdL terutamanya, dapat mempromosikan negeri mereka dengan tempat-tempat yang menarik, cara hidup contohnya dari segi makanan, cara berpakaian yang terdapat di kawasan mereka. Secara tidak langsung, LTdL mampu menarik perhatian pelancong untuk datang ke Malaysia agar dapat menikmati sendiri keindahan alam semulajadi, tempat-tempat menarik serta mempelajari budaya baru di Malaysia. Ini membuktikan bahawa tarikan penganjuran sukan bertaraf dunia bukan sahaja dapat mempromosikan Malaysia kepada dunia luar secara meluas dengan kos minima tetapi juga dapat menggalakkan kedatangan pelancong ke negara kita.


Seterusnya, penganjuran LTdL juga dapat meningkatkan ekonomi negara melalui pengaliran wang asing masuk ke negara kita. Pelancong yang datang dari negara luar terpaksa menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini. Ini dapat dilakukan sama ada di bank tempatan mahupun di pusat pertukaran mata wang asing. Mata wang asing ini kemudian disimpan untuk digunakan ketika membiayai perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Peniaga mata wang asing juga mendapat keuntungan daripada pernigaan yang dijalankan.

Ekonomi negara juga dapat ditingkatkan melalui penganjuran LTdL ialah melalui rakan pelaburan dari sektor swasta dan korporat menggunakan peluang yang besar untuk memasar dan memperkenalkan produk mereka kepada lebih 80 buah negara di dunia dengan menjadi rakan penaja LTdL. Apabila barangan syarikat ini mendapat pasaran di luar negara, sekaligus menambah pendapatan negara melalui cukai serta meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Peluang pekerjaan juga meningkat kerana permintaan yang tinggi terhadap barangan negara dan rakyat akan mencapai taraf hidup yang lebih baik. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) juga lebih membangun kerana permintaan barangan daripada pelancong. Peluang perniagaan yang lebih tinggi juga kepada industri kecil dalam membekalkan bahan kepada syarikat besar untuk menghasilkan barangan. Penjenamaan barangan baru akan dapat diwujudkan.

Secara keseluruhannya, penganjuran LTdL mampu untuk memajukan indusri sukan, pelancongan dan ekonomi negara. Hal ini kerana tanpa acara yang berprestij ini, negara kita akan menjadi mundur dan tidak dikenali oleh negara luar. Kejayaan negara menganjurkan LTdL dapat mempromosikan negara ke persada dunia. Justeru itu, kerajaan hendaklah berusaha sedaya upaya memajukan lagi industri sukan agar negara terus maju.