Khamis, 29 Mei 2014

Puteri dan Lolipop

Puteri dan Lolipop

Kring! kring! Kedengaran loceng sekolah berbunyi menandakan tamatnya waktu persekolahan pada hari itu. Murid-murid mengucapkan ‘terima kasih’ kepada cikgu yang mengajar. Mereka bergegas mendapatkan beg untuk pulang. Begitu juga dengan Arifa dan Syafika. Kedua beradik ini berlari-lari anak menuju ke kereta yang dipandu oleh ibu mereka.

Arifa merupakan kakak kepada Syafika yang berumur 11 tahun. Arifa seorang yang penyabar dan suka beralah dengan perangai adiknya. Dia merupakan murid yang cemerlang di sekolah. Arifa juga aktif dalam bersukan. Sukan yang paling digemarinya ialah bola jaring.

Syafika pula berumur 10 tahun. Beza umur Syafika dan Arifa hanyalah satu tahun. Syafika berlainan dengan kakaknya. Dia tidak gemar bersukan. Masa yang ada digunakan dengan bermain komputer.

Arifa dan Syafika selalu bergaduh apabila berada di rumah. Mereka bagai ‘anjing dengan kucing’. Pergaduhan mereka tidaklah lama. Mereka akan berbaik semula apabila dinasihati oleh ibubapa mereka dan kerapkali Arifa akan beralah terlebih dahulu. Sebagai kakak, Arifa hendak menunjukkan contoh terbaik buat adiknya.

Keadaan ini amat membimbangkan ibu dan ayahnya. Sebagai adik-beradik, mereka sepatutnya tolong-menolong. Bukannya bergaduh sesama mereka. Encik Kadir dan Puan Salma tidak tahu apa yang harus dibuat lagi. Pelbagai cara dilakukan agar adik-beradik ini tidak bergaduh. Tetapi, semuanya tidak berjaya.

**********

Seminggu lagi cuti persekolahan akhir tahun akan bermula. Arifa dan Syafika telah merancang untuk pulang ke kampung ibunya di Parit Buntar, Perak. Mereka amat rindukan datuk dan nenek di kampung. Arifa dan Syafika tidak sabar menunggu cuti persekolahan bermula.

“Ibu, ayah, kakak nak anak patung baru untuk bawa balik ke kampung. Boleh tak?,” tanya Arifa mengharap.
“Mana adil, adik pun nak juga,”sampuk Syafika sambil mencebik ke arah kakaknya.
“Apa yang bising ni?” tanya Encik Kadir. “Nanti, sebelum pulang ke kampung ayah akan belikan seorang satu,” sambung Encik Kadir lagi.
“Sayang ayah!” kata Arifa dan Syafika serentak.
“Dengan ibu tak sayang?” tanya Puan Salma dengan nada merajuk.
“Kami sayang ibu juga,” kata Arifa dan Syafika sambil memeluk ibu dan ayah mereka.

Cuti persekolahan pun bermula. Encik Kadir sekeluarga ke bandar sebelum pulang ke kampung. Mereka ingin membeli anak patung yang diimpikan oleh Arifa dan Syafika.

Kelihatan orang ramai di pasaraya. Kebanyakannya datang bersama keluarga. Cuti persekolahan adalah masa yang terbaik untuk membawa anak-anak keluar dan meluangkan masa bersama mereka.

“Ibu, kakak nak teddy bear ni,” kata Arifa sambil memegang anak patung beruang berwarna coklat. Patung itu sangat comel dan lembut apabila dipegang. Puan Salma mengangguk tanda bersetuju dengan pilihan anaknya.
“Adik pula nak yang mana?” tanya Puan Salma.
“Adik nak yang sama macam kakak. Tapi, adik nak warna merah jambu. Itu dia,” kata Syafika sambil menuding jari ke arah anak patung beruang berwarna merah jambu yang agak jauh darinya.
“Kejap, nanti ibu ambilkan,” kata Puan Salma.

Setelah membayar di kaunter, Encik Kadir sekeluarga pun bertolak pulang ke kampung. Encik Kadir dan Puan Salma berasa lega kerana telah menunaikan janji untuk membelikan anak patung buat anak kesayangan mereka. Arifa dan Syafika sangat sayang dengan anak patung tersebut. Mereka mendakapnya dengan erat.

Arifa menamakan anak patungnya dengan nama ‘Lolipop’. Apabila terpandang anak patung tersebut, dia membayangkan gula-gula lolipop. Arifa juga sangat suka memakan gula-gula lolipop. Oleh sebab itu, dia menamakan sebagai Lolipop. Pelik, tetapi sangat menyenangkan hatinya.

Syafika pula menamakan anak patungnya dengan nama ‘Puteri’. Anak patungnya yang berwarna merah jambu sangat sinonim dengan nama wanita bagi Syafika. Tambahan pula angan-angan Syafika adalah untuk menjadi puteri raja suatu hari nanti. Syafika memang suka berangan sejak dari dulu lagi.

Tepat jam tiga petang, Encik Kadir sekeluarga selamat tiba di kampung. Mereka disambut oleh datuk dan nenek. Nenek telah memasak masakan kampung yang amat digemari oleh Arifa dan Syafika.

Pada malam itu, mereka sekeluarga rancak berbual dengan datuk dan nenek. Hingga tidak sedar hari sudah larut malam. Arifa dan Syafika seronok tinggal di kampung kerana suasana yang nyaman dan jauh dari pencemaran.

**********

Keesokan harinya, selepas bersarapan. Arifa dan Syafika masuk ke bilik untuk bermain. Mereka ingin bermain dengan Puteri dan Lolipop yang baru dibeli. Tiba-tiba, kedengaran Syafika menjerit sambil menangis. Encik Kadir bersama isterinya bergegas masuk ke bilik.

“Kenapa adik menangis?” tanya Encik Kadir.
“Anak patung adik dah rosak. Matanya tercabut sebelah. Habis tak comel patung ni. Mesti kakak yang rosakkan,” tuduh Syafika sambil menuding jarinya kepada Arifa.
“Kakak tak buatlah. Ia tercabut sendiri. Kelmarin kakak tengok memang dah longgar,” kata Arifa perlahan.
“Oh, sebab itu. Nanti ibu gamkan. Jangan bergaduh lagi,” kata Puan Salma meleraikan pergaduhan tersebut.

**********

Pada petang itu, tanpa disedari oleh ibu dan ayah, Arifa dan Syafika telah pergi ke sungai. Kedua beradik ini tidak meminta izin terlebih dahulu. Jarak rumah dengan sungai agak jauh serta sunyi dari laluan orang ramai.

Arifa dan Syafika bermain di tepi sungai bersama Puteri dan Lolipop. Sedang mereka asyik bermain, tanpa disedari, Puteri terlepas dari tangan Syafika. Puteri jatuh ke dalam sungai. Syafika menjerit meminta tolong sambil menangis.

Arifa tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia sangat kasihan terhadap adiknya. Puteri tenggelam di dalam air sungai yang dalam. Syafika tidak berhenti-henti menangis. Arifa cuba memujuk adiknya. Tiba-tiba, kaki Arifa tergelincir kerana tanah di tepi sungai yang licin. Arifa jatuh ke dalam sungai.

Syafika cuba untuk menyelamatkan kakaknya tetapi tidak berjaya. Syafika semakin panik. Dia menjerit meminta tolong dengan kuatnya. Mujurlah pada ketika itu, Encik Kadir dan Puan Salma datang. Encik Kadir terus terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan anaknya. Beberapa minit kemudian, Arifa berjaya diselamatkan.

Ketika diangkat ke darat, Arifa dalam keadaan pengsan. Encik Kadir berusaha mengeluarkan air dari tubuh anaknya. Syafika pula asyik menangis sejak dari tadi. Dia takut kehilangan kakak yang disayanginya. Syafika berdoa di dalam hati semoga kakaknya cepat sedar.

Lima minit kemudian, Arifa pun sedar. Keadaannya sangat lemah. Mukanya pucat. Syafika sangat gembira melihat kakaknya sudah sedar. Encik Kadir membawa Arifa ke hospital untuk rawatan selanjutnya. Arifa dibenarkan pulang setelah keadaannya kembali stabil.

Arifa dan Syafika meminta maaf kepada ibubapa mereka. Mereka berasa bersalah kerana tidak meminta izin terlebih dahulu untuk keluar. Arifa dan Syafika berjanji tidak akan melakukannya lagi. Syafika juga turut berubah. Dia menjadi seorang yang lebih baik. Mendengar nasihat ibubapa dan kakaknya. Dia tidak gemar mencari gaduh dengan Arifa lagi.

Kini, kedua beradik itu tidak suka bergaduh lagi. Mereka lebih sayang-menyayangi antara satu sama lain. Encik Kadir berjanji pada Syafika yang dia akan membelikan anak patung baru seperti Puteri. Hubungan Arifa dan Syafika semakin akrab bagai ‘isi dengan kuku’.

Isnin, 26 Mei 2014

Si Kuyup

Si Kuyup

Di hujung kampung, tinggal sebuah keluarga yang hidup aman dan bahagia. Mereka menetap di sebuah rumah kecil yang dikelilingi sawah padi. Kehidupan mereka ibarat ‘kais makan makan pagi, kais petang makan petang’. Walaupun hidup dalam serba kekurangan, keluarga ini tetap gembira dan bersyukur.

Pak Hamzah bekerja sebagai pesawah manakala Siti Aminah sebagai suri rumah. Mereka dikurniakan dua orang anak yang cantik dan baik budi pekerti iaitu Amir dan Syakirah. Amir merupakan anak sulung dalam keluarga tersebut. Berumur 12 tahun. Tidak lama lagi Amir akan menghadapi peperiksaan UPSR. 

        Setiap hari, setelah membantu ayahnya di sawah, Amir akan mengulangkaji pelajaran. Amir tahu bahawa pelajaranlah yang akan mengubah nasib keluarganya daripada sebuah keluarga miskin kepada sebuah keluarga yang hidup kaya-raya dan berjaya. Oleh itu, Amir berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam pelajaran seterusnya membantu keluarganya.

Syakirah pula merupakan anak bongsu dalam keluarga tersebut. Syakirah berumur 10 tahun. Muda dua tahun daripada abangnya. Syakirah adalah seorang budak yang rajin membantu ibunya di rumah. Syakirah suka mengemas rumah, mencuci pakaian dan menolong ibunya memasak. Selain itu, Syakirah turut membantu menjual kuih-muih serta nasi lemak yang dibuat oleh ibunya pada setiap pagi. Sikap ringan tulang Syakirah amat disenangi oleh keluarganya.

**********

Pada suatu hari, dalam perjalanan pulang dari sekolah, Amir terjumpa seekor kucing yang hampir lemas di dalam sungai. Kawan-kawan Amir tidak mempedulikan kucing tersebut, malah ketawa melihat kucing terkapai-kapai untuk menyelamatkan diri.

Amir berasa kasihan melihat kucing tersebut. Dia terus terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan kucing itu. Akhirnya, kucing tersebut berjaya diselamatkan. Kucing itu berada dalam dakapan Amir untuk menghilangkan kesejukannya.

Amir pulang ke rumah dalam keadaan basah kuyup. Dia risau dimarahi ibunya apabila melihat keadaannya begitu.

“Amir, kenapa baju kamu basah?”, tanya Siti Aminah.
“Tadi, semasa dalam perjalanan pulang, ada kucing hampir lemas di dalam sungai. Amir pun selamatkan kucing tersebut. Ini kucingnya,” kata Amir ketakutan sambil menunjukkan kucing yang diselamatkan kepada ibunya.
“Oh begitu, mak tak marah pada kamu. Cuma ibu nak nasihatkan kepada kamu supaya lain kali lebih berhati-hati. Air sungai di situ sangat dalam,”kata ibunya risau.
“Baiklah, ibu,” jawab Amir.
“Cepat salin pakaian kamu. Nanti kamu pula yang demam,” tambah Siti Aminah lagi.

Amir pun bergegas ke biliknya untuk menukar pakaian. Setelah membersihkan diri dan solat Zohor, Amir membersihkan pula kucing yang diselamatkannya tadi. Kucing itu berwarna putih dan mempunyai bulu yang cantik.

“Mulai hari ini, aku namakan engkau Si Kuyup,” kata Amir kepada kucing tersebut.

Amir menamakan Si Kuyup kerana sempena terjumpa kucing tersebut dalam keadaan dirinya dan kucing itu yang basah kuyup. Oleh itu, Amir memberi nama kucing tersebut sebagai ‘Si Kuyup’. Si Kuyup hanya mengiau sahaja apabila Amir bercakap dengannya. Si Kuyup seperti mengetahui apa yang dikatakan oleh Amir.

“Abang, comelnya kucing ini,” kata Syakirah yang datang dari dapur.
“Abang jumpa Si Kuyup di sungai. Si Kuyup hampir lemas,” kata Amir.
“Abang, adik nak jaga kucing ini juga ya,” kata Syakirah lagi.
“Kita jaga sama-sama. Adik tolong ambilkan nasi dan lauk di dapur. Abang nak beri pada Si Kuyup. Tentu Si Kuyup lapar,” kata Amir.
“Baik abang,” balas Syakirah.

Si Kuyup begitu manja dan serasi bersama keluarga tersebut. Ke mana sahaja Amir dan Syakirah pergi, Si Kuyup turut bersama. Sama ada ke kedai mahupun ke sawah. Si Kuyup juga sangat jinak dan suka bermain-main. Amir dan Syakirah semakin sayang dengan kucing tersebut.

**********

Pada suatu malam, ketika Amir dan Syakirah sedang mengulangkaji pelajaran. Mereka terkejut kerana Si Kuyup tiada bersama mereka. Kebiasaannya, Si Kuyup akan tertidur di sebelah mereka setelah penat bermain.

“Abang, mana Si Kuyup?” tanya Syakirah risau.
“Yalah, adik. Si Kuyup hilang. Mari kita cari di luar,” ajak Amir.
“Harap-harap Si Kuyup tidak pergi ke mana-mana,”kata Syakirah.
Amir dan Syakirah pun keluar untuk mencari Si Kuyup. Mereka membawa lampu suluh bersama.
“Si Kuyup! Si Kuyup!” jerit Amir dan Syakirah.
“Abang, itu Si Kuyup. Dia menghala ke rumah jiran kita, Datuk Fuad,” kata Syakirah.
“Mari kita pergi ke sana,” kata Amir pula.

Amir dan Syakirah pun pergi ke rumah jiran mereka yang bernama Datuk Fuad. Datuk Fuad adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya di kampung mereka. Datuk Fuad membuka kedai baju di bandar serta mempunyai banyak cawangan di seluruh negeri. Dalam perjalanan ke sana, mereka berhenti di sebatang pokok.

“Adik, ada orang masuk ke rumah Datuk Fuad. Siapakah mereka?”tanya Amir.
“Yalah abang, Datuk Fuad tiada di rumah. Mereka sekeluarga pergi bercuti ke Pulau Langkawi,” kata Syakirah.
“Abang rasa, orang ini mesti pencuri. Mereka nampak mencurigakan dan berada ditempat gelap,” tambah Amir.
“Abang, adik takutlah,”kata Syakirah dalam keadaan ketakutan.
“Adik jangan risau, kita sembunyi sahaja di bawah pokok ini,” kata Amir menenangkan hati adiknya.

Amir dan Syakirah bersembunyi di bawah rimbunan pokok. Mereka lihat pencuri tersebut memecahkan tingkap rumah Datuk Fuad. Kedengaran bunyi yang agak kuat. Tetapi disebabkan rumah Datuk Fuad yang agak jauh dari rumah lain menyebabkan bunyi tersebut tidak dapat didengar oleh jiran tetangga. Kedua-dua pencuri pun masuk ke rumah melalui tingkap yang pecah itu.

“Adik, adik pulang ke rumah dan beritahu pada ibu dan ayah. Abang pula akan panggil orang kampung,” kata Amir.
“Baiklah abang,” jawab Syakirah.

10 minit kemudian, rumah Datuk Fuad telah dikepung oleh pihak polis dan orang kampung. Kedua-dua pencuri itu tidak menyedari bahawa rumah tersebut telah dikepung. Lima orang anggota polis menyerbu masuk ke dalam rumah Datuk Fuad. Berlaku pergelutan di antara polis dan pencuri. Akhirnya, anggota polis berjaya menangkap pencuri tersebut. Kedua-dua pencuri diberkas dan dibawa masuk ke dalam kereta. Pihak polis merampas barang kemas dan sejumlah wang daripada pencuri.

Pihak polis mengucapkan tahniah kepada Amir kerana membantu pihak polis. Amir yang bertindak cepat memberitahu pihak polis adalah suatu tindakan yang bijak. Keberanian dan kecekapan Amir mendapat pujian daripada pihak polis. Tambahan pula kedua-dua pencuri tersebut sememangnya menjadi buruan polis sejak sekian lama.

Setelah kereta polis beredar dari rumah Datuk Fuad, Amir, Syakirah serta ibubapanya melangkah pulang ke rumah. Ketika dalam perjalanan, mereka ternampak Si Kuyup mengerang kesakitan di tepi jalan.

“Abang, itu Si Kuyup,” kata Syakirah.
“Si Kuyup cedera. Mungkin dilanggar kenderaan yang lalu-lalang,” kata Amir sambil melangkah ke arah Si Kuyup.
“Bawa Si Kuyup pulang. Nanti kita boleh merawatnya,” kata Pak Hamzah.

Pak Hamzah merawat luka di kaki Si Kuyup. Si Kuyup  tidak mengalami kecederaan yang teruk. Amir dan Syakirah berasa lega bila melihat Si Kuyup boleh berjalan semula walaupun terjengket-jengket.

Berita kecurian di rumah Datuk Fuad menjadi bualan penduduk kampung. Berita keberanian Amir dan Syakirah membantu menyelesaikan jenayah turut tersebar.

**********

Keesokan harinya, Datuk Fuad sekeluarga pulang bercuti lebih awal apabila mendapat panggilan daripada pihak polis. Mereka berasa bersyukur kerana pencuri dapat ditangkap dan tidak mengalami sebarang kerugian. Rupa-rupanya pencuri yang masuk ke rumah adalah bekas pekerja Datuk Fuad. Datuk Fuad terpaksa memberhentikan mereka kerana terlibat dalam penyelewengan wang syarikat.

Datuk Fuad berterima kasih kepada Amir sekeluarga. Tanpa bantuan Amir dan Syakirah sudah tentu pencuri akan terlepas. Datuk Fuad memberi sedikit wang sebagai tanda berterima kasih. Selain itu, Datuk Fuad sekeluarga bersetuju untuk menjadikan Amir dan Syakirah sebagai anak angkat. Segala perbelanjaan pelajaran akan ditanggung oleh Datuk Fuad.

Amir dan Syakirah berasa sangat gembira. Mereka kini mempunyai keluarga baru. Mereka juga berterima kasih pada Si Kuyup kerana Si Kuyuplah mereka berjaya membantu menyelesaikan kes kecurian tersebut.

Ahad, 18 Mei 2014

Hantaran Perkahwinan 1 Mei 2014

sirih junjung
Sirih Junjung Warisan Kita

hantaran baju dan aksesori lelaki

gubahan gula-gula

gubahan topi

gubahan kuih tradisional

gubahan tuala

gubahan jelly berbentuk bunga

gubahan sejadah berbentuk kipas

buah-buahan

gubahan hantaran perkahwinan

Pelbagai gubahan perkahwinan

Hantaran perkahwinan dari pihak perempuan iaitu Norsuhada binti Mohd Yusuf kepada pihak lelaki. Tanggal 1 Mei 2014. Selamat Pengantin Baru dan Semoga Berbahagia hingga ke Jannah. Amin...