Selasa, 27 Ogos 2013

Pantun Teka-Teki



Membeli baju dan juga seluar, 
Untuk dipakai di majlis tertentu;
Buahnya kuning duri di luar,
Apakah namanya buah itu?


Nasihat diberi oleh bapa,
Untuk menghadapi sebarang cabaran;
Dianyam dengan daun kelapa,
Menjadi hidangan di hari lebaran.


Harum sungguh bunga Bakawali,
Menjadi penyeri di dalam taman;
Bendanya kecil tajam sekali,
Mencantum kain menjadi pakaian.


Sakitnya kaki bila tergeliat,
Berhati-hatilah ketika berlarian;
Diperbuat daripada tanah liat,
Menjadi peralatan kehidupan harian.


Bunga mawar bunga matahari,
Rama-rama datang menghinggap;
Kalau tuan bijak bistari,
Burung apa yang boleh bercakap?


Jem dibuat daripada nanas,
Dimasukkan juga biji bijan;
Amat berguna di hari panas,
Amat diperlukan di hari hujan.


Di subuh hari ayam berkokok,
Walaupun sejuk berjaya ditangkis;
Datangnya ia daripada pokok,
Boleh ditulis, dibaca dan dilukis.


Jawapannya... : 

Durian
ketupat
jarum
 barangan tembikar
 burung kakak tua
 payung
 buku

Pantun Aidilfitri


Berjalan-jalan keliling paya,
Untuk mencari buah peria;
Berpakaian Melayu segak bergaya,
Bila tersenyum nampak ceria.


Tinggi sungguh pohon kelapa,
Tumbuh melata pokok halia;
Lemang, ketupat tidak dilupa,
Juadah Aidilfitri yang penuh mulia.


Membeli-belah menaiki kereta,
Membeli hadiah untuk papa;
Bermaaf-maafan sesama kita,
Keluarga tercinta jangan kita lupa.


Ziarah-menziarahi berjabat salam,
Memohon keberkatan daripada-Nya;
Zakat fitrah wajib kepada Islam,
Adakah saudara / saudari sudah tunaikannya?


Ampun dan maaf saya hulurkan,
Jika tersalah harap diampunkan;
Hari mulia kita bermaaf-maafan,
Agar hidup penuh keberkatan.

Jumaat, 23 Ogos 2013

Debat : Kitar Semula Hangat-hangat Tahi Ayam


Saya sebagai pencadang menyokong tajuk perdebatan hari ini iaitu ‘kitar semula hangat-hangat tahi ayam’. Hujah yang ingin saya kemukakan ialah kurangnya kesedaran masyarakat terhadap aktiviti kitar semula ini. Hal ini kerana masyarakat bersikap acuh tidak acuh dan menganggap aktiviti kitar semula adalah tidak penting dan tidak memberi apa-apa makna kepada mereka. Selain itu, kita dapat lihat bahawa sampah sarap di negara kita semakin bertambah dari tahun ke setahun kerana tiadanya tahap kesedaran sivik yang tinggi serta peka masyarakat terhadap kepentingan pengawalan sumber dan penjanaan alam sekitar serta cenderung untuk mengamalkan kitar semula bahan-bahan tertentu. Oleh itu, secara tidak langsung sisa pepejal di negara kita akan semakin bertambah dan berada di tahap yang membimbangkan.

Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Datuk Seri Ahmad Sarji Abdul Hamid menegaskan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) melaporkan bahawa sisa pepejal di Malaysia secara puratanya terdiri daripada 45 peratus sisa makanan, 24 peratus plastik, tujuh peratus kertas, enam peratus besi dan tiga peratus kaca dan bahan lain dan ternyata kebanyakan isi rumah Malaysia membuang sampah yang kebanyakannya boleh dikitar semula. Ketika ini ada 230 tapak pelupusan sampah di Malaysia dengan keluasan antara 20 hingga 150 ekar setiap satu, tetapi berdasarkan kadar pembuangan sampah masyarakat hari ini lama-kelamaan tapak berkenaan akan mencapai had maksimum. 

Menurut Tan Sri Datuk Seri Ahmad Sarji Abdul Hamid bahawa kadar kitar semula di Malaysia hanyalah lima peratus. Jumlah ini adalah kecil berbanding kadar kitar semula negara lain, seperti Belanda dengan 45 peratus; Jerman (42 peratus), Sweden (39 peratus), Norway (38 peratus), Denmark (35 peratus) dan Kanada (32 peratus). Malah, negara jiran di Asia seperti Korea dan Singapura masing 44 peratus dan 41 peratus. Hal ini kerana tahap kesedaran wanita mengenai kepentingan mengitar semula sampah dan mengamalkannya masih berada di tahap yang rendah. Maka jumlah sampah yang terhasil daripada isi rumah akan bertambah saban tahun. Wanita negara ini tidak sedar bahawa mereka mempunyai peranan yang besar dalam amalan mengitar semula dan harus mempertingkatkan amalan ini di kalangan masyarakat. Mereka seharusnya sedar bahawa sebagai pengurus rumah tangga, wanita boleh mengawal jumlah sampah yang dihasilkan oleh ahli keluarganya dan mengitar semula sampah yang ada. Oleh itu, dapatlah dirumuskan bahawa tahap kesedaran isi rumah terutamanya wanita masih berada di tahap yang rendah dalam menjadikan aktiviti kitar semula ini sebagai satu amalan untuk mengelakkan berlakunya pembaziran dan pencemaran.

Selain itu, sikap dan tabiat rakyat Malaysia pada masa kini yang suka membuang dan budaya berbelanja lebih akan menyebabkan sisa pepejal di negara kita semakin bertambah. Rakyat lebih suka membuang barang-barang yang dianggap sampah yang sebenarnya mempunyai nilai yang amat besar. Aktiviti kitar semula dianggap tidak penting dan menyusahkan mereka. Rakyat tidak sedar jika mereka terlalu banyak menggunakan sumber dan tidak mengitar semula, ia boleh menjejaskan kesemuanya dari segi kesihatan mereka hinggalah kepada anak-anak selain keupayaan menghasilkan bahan mentah. 

Menurut  Ketua Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd Mohamed Siraj Abdul Razack berkata Pihak berkuasa tempatan membelanjakan sehingga 60 peratus daripada belanjawan tahunan mereka untuk pengurusan sisa, Malaysia menanggung kos antara RM110 dan RM130 untuk mengutip dan memusnahkan satu tan metrik sampah. Ia mencapai jumlah antara RM1.98 juta dan RM2.34 juta sehari atau RM854 juta setahun untuk memusnahkan 18,000 tan metrik sisa pepejal sehari.

Masyarakat tidak sedar bahawa lebih 30 peratus daripada sampah kita boleh dikitar semula, dan bahan-bahan ini boleh dielakkan daripada berakhir dengan ditanam atau dibakar. Menurut Mohamed Siraj statistik menunjukkan cuma antara tiga dan lima peratus daripada sisa pepejal negara dikitar semula manakala selebihnya berakhir dalam longkang, rumah tinggal atau ditanam. Hal ini kerana orang ramai tidak selesa atau tidak dilatih untuk mengamalkan aktiviti kitar semula di samping sikap masyarakat yang tidak ambil peduli. Oleh itu, dapatlah saya rumuskan bahawa kitar semula di Malaysia masih berada di tahap yang rendah akibat kurangnya kesedaran daripada masyarakat.