Memaparkan catatan dengan label Pantun. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pantun. Papar semua catatan

Ahad, 30 Mac 2014

Pantun Selamat Hari Lahir

Selamat Hari Lahir


Petang hari menjala ikan,
Sambil menyiram bunga di taman;
Selamat hari lahir saya ucapkan,
Kepada tuan hamba yang budiman.


Anak padi tumbuh melata,
Berenang-renang si anak ikan;
Kek sudah di depan mata,
Silalah potong untuk raikan.


Tumbuh segar pohon melati,
Terbang tinggi burung lelayang;
Hadiah apa yang dinanti,
Daripada orang yang tersayang?


Kura-kura dan arnab bermain lumba,
Meragut rumput si kambing biri-biri;
28 Mac hari lahir hamba,
Apakah hadiah yang hendak diberi?


Senyuman manis sungguh memikat,
Barulah cinta mekar bersemi;
Usia kita semakin meningkat,
Matangkan diri kukuhkan ekonomi.


Sakitnya kaki terpijak duri,
Kerna hendak menangkap ikan;
Kepada Tuhan kita syukuri,
Atas usia dan rezeki yang diberikan.

Khamis, 20 Februari 2014

Pantun Selamat Datang ke Blog Masakan Sajian Hati

Sajian Hati


Ikan haruan ikan sepat,
Ikan puyu ikan gelama;
Mari dekat mari rapat,
Blog Sajian Hati diberi nama.


Baik sungguh budi pekertinya,
Anak dara tertunduk segan;
Jemputlah singgah jika berkelapangan.


Pohon rambutan dipanjat-panjat,
Cantik sungguh berkebaya Nyonya;
Jika berminat jika berhajat,
Salinlah resepi untuk mencubanya.


Sesat jalan silalah tanya,
Agar berjaya ditempuh segala halangan;
Blog masakan tema blognya,
Marilah terjah janganlah segan.


Pagi hari mencari lokan,
Memetik juga buah-buahan;
Salah dan silap harap dimaafkan,
Andai hamba tersalah menyampaikan.


Malam-malam memasang pukat,
Jaga-jaga terpijak duri;
Masa berjalan terlalu cepat,
Tibalah masa mengundur diri.


Pagi hari menjala ikan,
Berhati-hati melalui titi;
Terima kasih hamba ucapkan,
Sudi-sudilah menjengah blog Sajian Hati.

Ahad, 1 September 2013

Pantun Budaya dan Warisan


Bunga layu di dalam taman,
Bunga ditanam di kawasan gurun;
Warisan Melayu jangan ditinggalkan,
Menjadi kebanggaan turun-temurun.

Menabur jasa tidak dipinta,
Untuk membela kedudukan diraja;
Berbudi bahasa amalan kita,
Walau berada di mana jua.

Ranting kayu jatuh melata,
Buah peria pahit terasa;
Bahasa Melayu bahasa kita,
Gunakan ia sepanjang masa.

Sungguh cantik kebaya Nyonya,
Walau dipakai ke mana jua;
Puisi tradisional tiada kurangnya,
Menjadi kemegahan kita semua.

Menjolok kelapa menggunakan galah,
Untuk menikmati kelapa muda;
Orang kita pantang mengalah,
Ilmu persilatan sentiasa di dada.

Terbang tinggi si burung Tukang,
Hinggap sebentar di atas dahan;
Keris dan pedang bukan sebarang,
Senjata pahlawan zaman-berzaman.

Khamis, 29 Ogos 2013

Pantun Nasihat


Tinggi sungguh si pohon jati,
Walaupun tinggi banyak berbudi;
Ibu bapa harus dihormati,
Agar hidup sentiasa diberkati.

Pangkat, darjat dan juga harta,
Berkuasa lagi yang Maha Esa;
Berbudi bahasa budaya kita,
Amalkannya setiap masa.

Memasak gulai menumis bawang,
Baunya harum amatlah nyaman;
Menabur budi kepada orang,
Tetap dikenang sepanjang zaman.

Melintas jalan orang yang buta,
Tolonglah bantu membuat jasa;
Hidup berjiran sesama kita,
Agar hidup aman sentosa.

Memakan sirih dan juga jamu,
Khasiatnya tinggi silalah cuba;
Penuhi dada dengan ilmu,
Agar menjadi orang berguna.

Buah mangga buah longan,
Enak sungguh jika dimakan;
Hidup ini penuh cabaran,
Tempuhilah ia dengan kesabaran.

Pergi memburu di hutan belantara,
Sambil memasang perangkap dan jerat;
Hidup ini hanya sementara,
Siapkan bekalan di hari akhirat.

Pemerintah mulia ialah Sultan,
Hendaklah dihormati dan juga taat;
Membuat jahat hasutan syaitan,
Usah terpedaya walau sesaat.

Rabu, 28 Ogos 2013

Akhlak Mulia Masyarakat Jaya

Semasa mengemas kotak-kotak yang berselerak, terjumpa pula pantun yang dikarang oleh kakak kedua untuk saya ketika saya darjah 5. Pantun ini adalah kenangan saya bersama kakak untuk diabadikan di sini...



Pergi ke pasar di pagi hari,
Sambil membeli kunjung-mengunjungi;
Gejala sosial perlu dihindari,
Supaya masyarakat kita terus disanjungi.

Hijau menguning serumpun padi,
Tumbuhnya pula di sana-sini;
Masyarakat ikhlas berjiwa budi,
Terciptalah masyarakat yang disegani.

Pergi ke hulu tiada tujuan,
Lalu terserempak seekor ular;
Masyarakat kini sedar erti kemajuan,
Lenyaplah kolar putih yang semakin menular.

Kanak-kanak bermain pusing,
Ada yang jatuh dan ada yang pengsan;
Hapusnya sudah budaya kuning,
Mudahlah masyarakat mengejar wawasan.

Di pagi hari membuat laksa,
Untuk santapan di hari mulia;
Sikap manusia pentingkan agama dan bangsa,
Ternyata masyarakat berhati mulia.

Berhimpit-himpit membeli sepatu,
Sepatu dibeli dibawa pulang;
Masyarakat kini bantu-membantu,
Untuk mewujudkan generasi cemerlang.

Hilangnya anak tidak diketahui,
Menghilang diri tanpa pesanan;
Sakit-menyakiti amatlah dijauhi,
Itulah masyarakat prihatin menuju wawasan.

Pergi belayar ke Teluk Parsi,
Sambil belayar berhati-hati;
Hendaklah ada sikap toleransi,
Agar masyarakat bersatu hati.

Cantiknya sungguh warnanya bulan,
Walau dipandang setiap masa;
Hormat-menghormati menjadi amalan,
Tentulah masyarakat hidup aman sentiasa.

Tumbuh melata si anak pandan,
Pandan berduri sangat bahaya;
Akhlak mulia jadi teladan,
Menjadi masyarakat lebih berjaya.

Selasa, 27 Ogos 2013

Pantun Teka-Teki


Membeli baju dan juga seluar, 
Untuk dipakai di majlis tertentu;
Buahnya kuning duri di luar,
Apakah namanya buah itu?


Nasihat diberi oleh bapa,
Untuk menghadapi sebarang cabaran;
Dianyam dengan daun kelapa,
Menjadi hidangan di hari lebaran.


Harum sungguh bunga Bakawali,
Menjadi penyeri di dalam taman;
Bendanya kecil tajam sekali,
Mencantum kain menjadi pakaian.


Sakitnya kaki bila tergeliat,
Berhati-hatilah ketika berlarian;
Diperbuat daripada tanah liat,
Menjadi peralatan kehidupan harian.


Bunga mawar bunga matahari,
Rama-rama datang menghinggap;
Kalau tuan bijak bistari,
Burung apa yang boleh bercakap?


Jem dibuat daripada nanas,
Dimasukkan juga biji bijan;
Amat berguna di hari panas,
Amat diperlukan di hari hujan.


Di subuh hari ayam berkokok,
Walaupun sejuk berjaya ditangkis;
Datangnya ia daripada pokok,
Boleh ditulis, dibaca dan dilukis.


Jawapannya... : 

Durian
ketupat
jarum
 barangan tembikar
 burung kakak tua
 payung
 buku

Pantun Aidilfitri


Berjalan-jalan keliling paya,
Untuk mencari buah peria;
Berpakaian Melayu segak bergaya,
Bila tersenyum nampak ceria.


Tinggi sungguh pohon kelapa,
Tumbuh melata pokok halia;
Lemang, ketupat tidak dilupa,
Juadah Aidilfitri yang penuh mulia.


Membeli-belah menaiki kereta,
Membeli hadiah untuk papa;
Bermaaf-maafan sesama kita,
Keluarga tercinta jangan kita lupa.


Ziarah-menziarahi berjabat salam,
Memohon keberkatan daripada-Nya;
Zakat fitrah wajib kepada Islam,
Adakah saudara / saudari sudah tunaikannya?


Ampun dan maaf saya hulurkan,
Jika tersalah harap diampunkan;
Hari mulia kita bermaaf-maafan,
Agar hidup penuh keberkatan.