Memaparkan catatan dengan label Ikon Membaca. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ikon Membaca. Papar semua catatan

Rabu, 28 Ogos 2013

Tun Dr. Mahathir : Ikon Membaca Kebangsaan Penggerak Kemajuan Negara Bangsa


Tun Dr Mahathir

Dewasa ini, budaya membaca dalam kalangan masyarakat masih di tahap yang rendah dari dahulu hingga kini. Malah, dari golongan terpelajar sama ada di universiti awam atau swasta turut menunjukkan minat membaca yang menghampakan. Mereka membaca hanyalah sekadar untuk memenuhi keperluan pengajian yang diambil dengan mendapatkan keputusan yang baik. Walhal, bahan bacaan tambahan perlulah dibaca agar lebih berilmu dan menghasilkan graduan yang berkualiti. Hal ini amat membimbangkan kerajaan kerana tanpa adanya minat membaca, tidak akan wujud golongan yang berpengetahuan tinggi seterusnya menerajui pembangunan negara.

Justeru itu, rakyat Malaysia memerlukan seorang ikon membaca kebangsaan untuk dijadikan contoh seterusnya menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Ikon boleh ditakrifkan sebagai simbol yang mempunyai atau menyerupai sifat mewakili sesuatu perkara. Contohnya di sini, ikon membaca kebangsaan yang bermaksud seseorang yang menjadi simbol kepada budaya membaca di dalam sebuah negara.

Seseorang yang menjadi ikon membaca kebangsaan ini hendaklah individu yang telah berjaya dalam kehidupannya, memberi sumbangan kepada masyarakat serta berjaya membangunkan negara. Perkara yang lebih penting, beliau hendaklah datangnya dari golongan yang minat membaca dan menyintai ilmu pengetahuan. Hal ini penting agar warga Malaysia dapat mencontohi ikon tersebut. Oleh itu, Tun Dr. Mahathir adalah orang yang paling layak untuk menjadi ikon membaca kebangsaan di Malaysia dan seterusnya memberi semangat kepada kita supaya suka membaca.

Tun Dr. Mahathir bin Mohamad merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ke-4. Dilahirkan di Alor Star, Kedah Darul Aman pada 20 Disember 1925. Beliau menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003. Beliau menerajui Malaysia ke arah arus kemodenan dengan pantas dan memberi kemakmuran di setiap lapisan masyarakat Malaysia.

Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah orang yang paling layak menjadi ikon membaca kebangsaan kerana beliau merupakan seorang yang rajin membaca dan berpegang teguh kepada prinsip bahawa pembelajaran adalah proses seumur hidup. Selagi masih bernyawa, kita harus mempertingkatkan ilmu pengetahuan agar lebih maju. Kejayaan seseorang adalah bergantung kepada ilmu pengetahuan yang dimilikinya.

Sejak zaman kanak-kanak lagi, Tun Dr. Mahathir suka kepada ilmu dan suka membaca apatah lagi didorong oleh ibubapa dan persekitarannya yang mahu bangsa Melayu itu berjaya. Oleh itu, memang wajarlah Tun Dr. Mahathir dijadikan ikon membaca kebangsaan kerana beliau sendiri yang minat membaca sejak kecil dan boleh menjadi contoh yang baik kepada generasi kini dan akan datang.

Di samping itu, hasil dari minat terhadap membaca membolehkan Tun Dr. Mahathir menjadi seorang penyunting semasa di bangku sekolah. Beliau menjadi penyunting Darulaman iaitu majalah rasmi keluaran Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau juga berkhidmat sebagai penyunting sebuah majalah yang diterbitkan oleh kolej perubatan di mana beliau menuntut.

Selain itu, keperihatinan beliau terhadap masalah ekonomi dan politik Melayu telah diluahkan dalam bentuk rencana-rencana yang diterbitkan oleh Sunday Times di bawah nama pena ‘C.H.E Det’ antara tahun 1946-1950. Penulisan merupakan satu dari minat Dr. Mahathir hinggalah ke hari ini. Selain dapat meluahkan apa yang tersirat, penulisan juga mampu membantu memberi kesedaran kepada masyarakat untuk bangun memajukan diri. Itulah perjuangan yang diusahakan oleh Tun Dr. Mahathir.

Kegigihan dan semangat untuk menyuarakan pendapat melalui penulisan telah menyebabkan beliau menghasilkan pelbagai jenis penerbitan termasuklah buku "Dilema Melayu" yang diterbitkan dalam tahun 1970. Penulisannya mencipta rekod jualan yang tinggi. Sumbangan beliau dalam penulisan adalah amat besar kepada negara dalam membentuk masyarakat yang lebih berjaya.

Tun Dr. Mahathir juga turut menulis esei dan komentar mengenai isu-isu sosio-politik negara di akhbar The Straits Times. Beliau mula menulis blog pada 1 Mei 2008 pada pukul 1.27 pagi dengan penulisan beliau "The Appointment of Judges". Pada 19 Jun, blog beliau telah berpindah ke laman baru yang lebih dipercayai dan selamat simpanannya. Hingga kini Tun Dr. Mahathir masih giat menulis blog dan berkongsi ilmu pengetahuan yang dimiliki. Pelbagai wadah digunakan beliau dalam menyampaikan sesuatu mesej kepada masyarakat terutamanya melalui penulisan. Kegigihan beliau ini layak mendapat penghormatan sebagai ikon membaca kebangsaan.

Kejayaan demi kejayaan telah diraih oleh Tun Dr. Mahathir. Bermula dengan menjadi seorang doktor dan berbakti kepada masyarakat seterusnya memasuki bidang politik hingga layak menjadi Perdana Menteri ke-4. Kejayaan beliau dalam memajukan negara walaupun negara mengalami krisis ekonomi amat membanggakan. Beliau mampu mengawalnya dengan baik dan mata wang negara kembali stabil.  Jasa beliau dalam membangunkan negara amat besar.

Sesungguhnya, usaha untuk mencapai kejayaan hendaklah bermula sejak kecil lagi seperti yang ditunjukkan oleh Tun Dr. Mahathir. Minatnya yang mendalam terhadap pembacaan membolehkan beliau menjadi seorang yang berjaya. Oleh itu, masyarakat hendaklah sedar bahawa budaya membaca memberi ilmu pengetahuan yang amat berguna. Kanak-kanak hendaklah ditanam sikap membaca dalam diri mereka ibarat ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Budaya membaca dalam kanak-kanak hendaklah disemai oleh ibubapa sejak dari kecil. Setiap masa harus digunakan sebaiknya tidak kira di mana jua berada contohnya ketika menunggu bas, menaiki kenderaan awam dan sebagainya.

Kempen 1 bulan 1 buku, adalah satu usaha yang baik untuk menarik masyarakat suka membaca. Kempen ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa kerajaan amat menitikberatkan budaya membaca dalam kehidupan harian. Membaca adalah ‘jambatan ilmu’. Perpustakaan juga akan menambah bilangan buku dari masa ke semasa dalam pelbagai cabang ilmu untuk keperluan masyarakat. Perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak juga diwujudkan untuk memudahkan masyarakat luar bandar memperoleh bahan bacaan yang secukupnya.

Terdapat pelbagai kelebihan jika kita rajin membaca iaitu kelebihan kepada diri sendiri, masyarakat dan juga negara. Kelebihan kepada diri sendiri ialah dapat menambah ilmu pengetahuan. Ilmu yang diperolehi dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Tanpa ilmu di dada, seseorang itu akan mudah ditipu dan ditindas.

Kelebihan membaca kepada masyarakat pula ialah dapat melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan bertamadun. Hal ini kerana melalui pembacaan, masyarakat akan memandang ke hadapan untuk lebih berjaya. Sejarah juga telah membuktikan bahawa masyarakat yang bertamadun ialah masyarakat yang mempunyai sistem tulisan yang tersendiri. Oleh itu, masyarakat pada masa kini dianggap bertamadun jika menggunakan sistem tulisan yang dimiliki dengan sebaiknya. Contohnya melalui pembacaan dan mempelajari lebih banyak bahasa serta sistem tulisan.

Kelebihan yang terakhir ialah kelebihan kepada negara. Sesebuah negara akan lebih maju jika mempunyai rakyat yang berilmu pengetahuan. Ilmu yang dimiliki akan dipraktikkan untuk membangunkan ekonomi negara. Negara tersebut tidak akan mundur malah dipandang tingggi oleh negara luar. Negara luar akan berasa kagum dengan teknologi dan kemahiran yang dimiliki.

Sesungguhnya, ilmu pengetahuan adalah amat penting dalam kehidupan manusia dan juga negara. Ilmu pengetahuan ini datangnya dari sikap suka membaca dan juga pendidikan yang dimilikinya. Oleh itu, kita hendaklah mencontohi sikap Tun Dr. Mahathir yang suka membaca dan berusaha untuk berjaya.

Tun Dr. Mahathir digelar "Bapa Pemodenan Malaysia" dan merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, iaitu dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003. Sepanjang 22 tahun beliau memegang jawatan pentadbiran tertinggi negara, banyak kemajuan dan pembangunan yang telah beliau rancang dan laksanakan. Beliau merupakan seorang yang berpandangan jauh dan terkehadapan, malah lebih jauh daripada pemikiran orang Melayu khususnya.

Pelbagai projek diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir contohnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),  Menara Berkembar Petronas, projek pengeluaran kereta Proton melalui HICOM (Heavy Industries Corporation of Malaysia) dan banyak lagi.

Tun Dr. Mahathir adalah penggerak kemajuan bangsa yang mampu memberi taraf kehidupan yang lebih baik dengan merangka pelan membasmi kemiskinan seterusnya menyediakan peluang pekerjaan secukupnya. Pelbagai teknologi di bangunkan di Malaysia dengan menitikberatkan kebajikan rakyat.

Kesimpulannya, Tun Dr. Mahathir adalah ikon membaca kebangsaan yang berjaya menggerakkan kemajuan negara bangsa. Hal ini kerana tanpa adanya beliau, negara kita tidak akan maju seperti yang dinikmati kini. Negara kita ibarat kapal yang dikawal oleh seorang nakhoda untuk meneruskan pelayaran agar sampai ke destinasi dengan selamat. Tanpa nakhoda yang cekap, pelayaran tersebut pasti akan tersasar.

Sesungguhnya, Tun Dr. Mahathir adalah ikon yang sepatutnya kita contohi pada masa kini dan selamanya. Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia hendaklah berbangga mempunyai pemimpin yang berwawasan dan berilmu pengetahuan. Kita juga hendaklah meneruskan perjuangan membangunkan negara dengan memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi agar negara berkembang maju pada masa akan datang.