Selasa, 27 Ogos 2013

Cermin Mataku Sayang

Tanpa kehadiranmu
Hidupku tiada bererti
Siang yang cerah menjadi malap dan kelabu
Keindahan alam yang indah menjadi sepi dan suram tanpa kau disisi.

Engkau hadir memberi sinar kehidupan padaku
Walaupun orang lain adakalanya hanya memandang remeh padamu
Tetapi aku,
Amat merayu dan menagih kasih sayangmu.

Saban hari
Kau mendampingiku
Walau ke mana aku pergi
Aku amat menghargaimu
Kerana kau ibarat nyawaku
Akan kubawamu hingga ke akhir hayatku.

Tetapi sayangnya,
Kau mempunyai kelemahan yang tersendiri
Yang amat aku pasti akan kelemahan tersebut
Dirimu mudah berderai
Membentuk serpihan halus
Pabila engkau dikasari.

Tetapi usahlah berasa gundah
Aku tidak akan akan membiarkan dirimu dikasari
Aku akan mempertahankan maruahmu
Walaupun nyawaku menjadi galang gantinya.

Aku akan menjagamu seperti seorang bayi
Membelai dirimu saban hari
Membersihkan dirimu daripada wabak penyakit
Akan ku lapkan dirimu menggunakan fabrik yang lembut
Agar kulitmu tidak berasa pedih.

Pabila malam ingin melabuh tirai
Entah mengapa aku tidak memerlukan dirimu lagi
Aku membiarkan engkau sepi dalam kegelapan malam
Engkau tidak lagi menemani dan menerangi kesamaranku
Seperti mana pada waktu siangnya

Wahai cermin mataku sayang
Janganlah engkau bersedih
Apabila mataku dibuka keesokan harinya
Akan ku gunakan perkhidmatanmu
Hinggalah malam menutupi tirainya
Kerana itulah rutinmu berbakti kepada tuanmu.

Pantun Teka-Teki



Membeli baju dan juga seluar, 
Untuk dipakai di majlis tertentu;
Buahnya kuning duri di luar,
Apakah namanya buah itu?


Nasihat diberi oleh bapa,
Untuk menghadapi sebarang cabaran;
Dianyam dengan daun kelapa,
Menjadi hidangan di hari lebaran.


Harum sungguh bunga Bakawali,
Menjadi penyeri di dalam taman;
Bendanya kecil tajam sekali,
Mencantum kain menjadi pakaian.


Sakitnya kaki bila tergeliat,
Berhati-hatilah ketika berlarian;
Diperbuat daripada tanah liat,
Menjadi peralatan kehidupan harian.


Bunga mawar bunga matahari,
Rama-rama datang menghinggap;
Kalau tuan bijak bistari,
Burung apa yang boleh bercakap?


Jem dibuat daripada nanas,
Dimasukkan juga biji bijan;
Amat berguna di hari panas,
Amat diperlukan di hari hujan.


Di subuh hari ayam berkokok,
Walaupun sejuk berjaya ditangkis;
Datangnya ia daripada pokok,
Boleh ditulis, dibaca dan dilukis.


Jawapannya... : 

Durian
ketupat
jarum
 barangan tembikar
 burung kakak tua
 payung
 buku

Pantun Aidilfitri


Berjalan-jalan keliling paya,
Untuk mencari buah peria;
Berpakaian Melayu segak bergaya,
Bila tersenyum nampak ceria.


Tinggi sungguh pohon kelapa,
Tumbuh melata pokok halia;
Lemang, ketupat tidak dilupa,
Juadah Aidilfitri yang penuh mulia.


Membeli-belah menaiki kereta,
Membeli hadiah untuk papa;
Bermaaf-maafan sesama kita,
Keluarga tercinta jangan kita lupa.


Ziarah-menziarahi berjabat salam,
Memohon keberkatan daripada-Nya;
Zakat fitrah wajib kepada Islam,
Adakah saudara / saudari sudah tunaikannya?


Ampun dan maaf saya hulurkan,
Jika tersalah harap diampunkan;
Hari mulia kita bermaaf-maafan,
Agar hidup penuh keberkatan.