Rabu, 16 Oktober 2013

Tanaman Tembikai Susu

Anak pokok tembikai susu

Pokok tembikai susu

Buah tembikai susu yang masih kecil

Struktur daun pokok tembikai susu

Buah tembikai yang yang dimakan oleh siput babi

Tembikai susu

Tembikai Susu atau bahasa Inggeris dikenali sebagai honeydew melon. Merupakan sejenis buah-buahan yang berasal dari Afrika Tengah.

Ia berwarna putih dan manis, dan walaupun buah ini tidak sama popular dengan buah tembikai, buah tembikai susu semakin diterima oleh orang ramai dan kini ditanam untuk memenuhi permintaan tempatan di Malaysia dengan kemungkinan yang besar untuk eksport.

Berongga dan mempunyai banyak biji di dalamnya. Pokoknya menjalar seperti tembikai. Terdapat sekurang-kurangnya 2 jenis, kuning pucat dan kuning. Buahnya berat dan banyak kandungan air. Berbau harum dan amat manis apabila ranum.

Sumber : Wikipedia

Rabu, 18 September 2013

Karangan Budak Sekolah Rendah !!!

Gambar sekadar hiasan..hehe

Terdapat dua buah karangan yang dihasilkan oleh murid sekolah rendah suatu masa dulu. Siapa? Fikir-fikirkanlah..hehe... Jom baca!

Melawat Zoo Negara


          Pada hari Ahad yang lalu, saya sekeluarga telah pergi ke Zoo Negara. Kami pergi menaiki sebuah van. Kami bertolak pada pukul 9.00 pagi dan sampai di sana pada pukul 11.00 pagi.
          Semasa berada di sana saya lihat beruang, burung, ular, monyet dan sebagainya. Mereka kelihatan gembira kerana ramai orang yang datang. Saya lihat sebuah bas rombongan sekolah telah datang ke zoo. Mereka kelihatan gembira melihat haiwan-haiwan yang menunjukkan gaya mereka tersendiri.
          Setelah puas melihat haiwan, saya sekeluarga pergi ke kedai untuk membeli makanan. Setelah menikmati juadah, saya sekeluarga pun balik. Saya sungguh seronok kerana dapat pergi ke zoo.

                 

Aku Sepasang Kasut


          Aku adalah sepasang kasut sekolah. Aku dilahirkan di sebuah kilang kasut yang terkenal di Parit Buntar. Kini aku ditempatkan di sebuah kedai di Bagan Serai.
          Pada suatu hari, seorang budak dan ayahnya datang mengunjungi kedai tuan aku. Budak itu memerhati diriku. Dan akhirnya dia pun membeliku dengan harga RM35.00. Aku dibawa balik oleh budak itu. Pada keesokannya harinya, aku dipakai oleh budak itu. Ramai kawan-kawannya memuji diriku. Budak itu menjaga aku dengan baik.
          Pada suatu hari, budak itu ditimpa kemalangan. Seluruh badanku terasa sakit. Badanku tidak secantik dahulu. Aku dibuang ke dalam tong sampah. Begitulah nasibku yang malang ini. Tetapi aku berasa bangga kerana aku telah berjasa kepada tuan aku.

Selasa, 17 September 2013

Replika-replika Menarik Sempena PRU ke-13

Replika Kapal Layar UMNO
Replika Kapal Layar UMNO

Replika Wau Bulan PAS
Replika Wau Bulan PAS

Replika Kapal Selam PAS
Replika Kapal Selam PAS

Replika Wau UMNO
Replika Wau UMNO

Replika Lembu yang Mempunyai Simbolik Tersendiri
Replika Lembu PAS yang mempunyai sombolik tersendiri

Replika Kapal Selam PAS
Replika Kapal Selam PAS

Replika Kereta Kebal PAS
Replika Kereta Kebal PAS

Inilah replika yang sempat diambil ketika PRU ke-13 dahulu. Rakyat Malaysia memang kreatif dalam menghasilkan sesuatu karya dan reka bentuk. Ianya menjadi kenangan kepada kita semua sebagai rakyat Malaysia.

Ahad, 1 September 2013

Pantun Budaya dan Warisan


Bunga layu di dalam taman,
Bunga ditanam di kawasan gurun;
Warisan Melayu jangan ditinggalkan,
Menjadi kebanggaan turun-temurun.

Menabur jasa tidak dipinta,
Untuk membela kedudukan diraja;
Berbudi bahasa amalan kita,
Walau berada di mana jua.

Ranting kayu jatuh melata,
Buah peria pahit terasa;
Bahasa Melayu bahasa kita,
Gunakan ia sepanjang masa.

Sungguh cantik kebaya Nyonya,
Walau dipakai ke mana jua;
Puisi tradisional tiada kurangnya,
Menjadi kemegahan kita semua.

Menjolok kelapa menggunakan galah,
Untuk menikmati kelapa muda;
Orang kita pantang mengalah,
Ilmu persilatan sentiasa di dada.

Terbang tinggi si burung Tukang,
Hinggap sebentar di atas dahan;
Keris dan pedang bukan sebarang,
Senjata pahlawan zaman-berzaman.

Negara Merdeka


Suatu ketika dulu
Negara dilanda kehancuran
Bangsa asing memerintah negara
Penindasan dan ketidakadilan bermaharajalela.

Tokoh negawan
Bangkit berjuang
Mempertahankan hak
Agar wujud negara merdeka.

Merdeka ! Merdeka ! Merdeka !
Laungan keramat tanahair tercinta
Terbinalah sebuah negara
Hidup makmur dan bahagia
Pelbagai bangsa dan bahasa
Dengan gagasan 1 Malaysia.

Negaraku merdeka
Selagi nyawa dikandung badan
Akanku pertahan tanahair tercinta
Hingga ke hujung nyawa
Demimu  negara tercinta
Agar negara terus merdeka.
 

Sabtu, 31 Ogos 2013

Tajuk Esei : Adakah pengguna terlalu obses dengan produk kosmetik? Kongsikan pendapat anda


Dewasa ini, terdapat pelbagai produk kosmetik yang berada di negara kita sama ada buatan tempatan mahupun yang diimport. Antara jenama produk kosmetik yang boleh didapati ialah Simply Siti, Safi, Shurah, Tia Amelia, Olay, Avon dan banyak lagi. Apakah yang dimaksudkan dengan kosmetik? Berdasarkan Kamus Pelajar, kosmetik bermaksud alat solek atau bahan yang digunakan untuk mencantikkan rupa seseorang. Oleh yang demikian, penggunaan produk kosmetik dapat menjadikan rupa paras lebih cantik dan menarik dari segi fizikal. Antara produk kosmetik yang digunakan ialah krim kecantikan, maskara, gincu, bedak dan sebagainya. Penampilan fizikal iaitu dibahagian muka amatlah dititikberatkan setiap wanita terutama ketika berhadapan dengan orang ramai. Justeru itu, penggunaan produk kosmetik yang sesuai amat diperlukan agar mereka kelihatan lebih cantik dan menarik.



Wanita dan kecantikan memang tidak dapat dipisahkan. Malah perumpamaan Melayu seperti rambut ikal bak mayang mengurai, mata bersinar bak bintang kejora, pipi licin bagai pauh dilayang, bibir mongel ulas limau, pinggang ramping bak kerengga, kulit putih gebu bak telur rebus dikupas dan pelbagai lagi menggambarkan kecantikan lahiriah wanita yang sempurna. Produk kosmetik yang dahulunya dianggap tidak penting kini menjadi satu keperluan kepada pengguna. Wanita kini yang maju dari segi pendidikan dan ekonomi, amat menitikberatkan kecantikan dalam hidup mereka. Produk kosmetik menjadi kemestian agar penampilan mereka menjadi lebih menarik dan nampak hebat sehinggakan mereka terlalu obses dengan produk kosmetik tanpa memikirkan baik dan buruk sesuatu produk. Apa sahaja yang membuatkan mereka cantik, mereka sanggup mencuba dan terus mencuba tanpa memikirkan risikonya.



Pada Jun 2008, niat seorang suri rumah iaitu Noraini Jaafar yang berumur 47 tahun, untuk menegangkan kulit muka serta menyerikan wajah yang sudah berusia menjadi mimpi ngeri apabila krim kosmetik yang digunakan menyebabkan wajahnya menjadi lebam dan berwarna kehitaman seperti dibakar. Mangsa terpaksa menjalani rawatan psikiatri di sebuah hospital kerana hilang keyakinan. Soalnya, adakah wanita tersebut mendapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan krim kosmetik tersebut? Jika ya, mustahil perkara ini akan berlaku. Hal ini jelas menunjukkan bahawa wanita tersebut menggunakan produk tanpa nasihat pakar serta tidak mengetahui bahan yang terkandung dalam produk tersebut mengandungi bahan yang berbahaya hingga boleh merosakkan kulit. Oleh itu, setiap wanita sebelum menggunakan sesuatu produk harus mendapat nasihat pakar dan mengetahui kandungan produk agar kes ini tidak berulang.



Kes di atas telah membuktikan bahawa pengguna pada masa kini terlalu obses dengan produk kosmetik kerana tidak meneliti dahulu kandungan produk kosmetik sebelum menggunakannya. Kurang kesedaran dan pengetahuan mengenai bahaya kandungan produk di samping ingin mengambil jalan pintas untuk kelihatan cantik menyebabkan pengguna berdepan risiko yang boleh membawa maut. Ada yang mengambil produk tanpa mematuhi peraturan sehingga mengundang kemudaratan. Ada juga yang sanggup pejam sebelah mata terhadap kandungan bahan kimia berbahaya asalkan hajat mereka tercapai. Pengguna yang obses dengan produk kosmetik tidak memikirkan buruk dan baik sesuatu produk yang dipakai. Pengguna tidak meneliti bahan yang terkandung dalam sesuatu produk kosmetik. Terdapat sesetengah produk kosmetik di pasaran mengandungi bahan kimia beracun yang boleh memudaratkan pengguna contohnya steroid. Justeru itu, pengguna harus lebih peka dalam membeli sesuatu produk serta mendapat nasihat pakar jika perlu. Kulit yang sensitif dan tidak sesuai dengan sesuatu produk juga menyebabkan kesan buruk pada kulit dan kesihatan.



Selain itu, saya mengatakan wanita terlalu obses dengan produk kosmetik kerana mereka sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk membeli produk kosmetik dengan harga yang mahal. Pengguna merasakan harga yang tinggi tidak penting asalkan mereka kelihatan lebih cantik dan menarik. Tiap-tiap bulan pengguna akan memperuntuk wang yang banyak tanpa memikirkan tabungan masa depan keluarga dan anak-anak. Wang ringgit dilaburkan hanya untuk kecantikan luaran tanpa memikirkan kecantikan dalaman yang patut juga dipelihara. Wanita kini tidak sedar bahawa kecantikan bukanlah sekadar dari segi paras rupa sahaja tetapi hati juga turut berperanan. Kecantikan dalaman haruslah seiring dengan kecantikan luaran.



Pengguna yang bijak haruslah membelanjakan wang yang ada mengikut keperluan dan kemampuan. Pengguna juga harus berfikir dahulu sebelum membeli sama ada sesuatu produk itu adalah sesuai atau tidak dengannya. Keghairahan wanita untuk cantik membuatkan mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan memberi kesan yang cepat tanpa memikirkan kesan negatif.



Terikut-ikut dengan gaya artis yang diminati juga menyebabkan pengguna terlalu obses dengan produk kosmetik. Hal ini kerana pengguna mahu mengikut cara penampilan artis yang diminati sama ada dari segi pakaian hinggalah produk kosmetik yang digunakan oleh artis tersebut. Pengguna ingin kelihatan cantik dan bergaya seperti artis yang dilihat di media massa. Selain itu, artis atau model cantik yang menjadi duta sesuatu produk juga menggalakkan pengguna membeli produk kosmetik yang dipasarkan. Hal ini kerana mereka mahu cantik seperti duta produk kecantikan tersebut.



Pengguna seharusnya sedar bahawa sesetengah kandungan produk kosmetik mungkin sesuai dan selebihnya tidak sesuai bagi seseorang sehingga jika pengambilannya salah, ia boleh mengundang padah. Hal ini kerana ada pengguna yang alah dengan kandungan bahan dan menyebabkan ia tidak  sesuai untuk digunakan. Pengguna janganlah mudah terpedaya dengan iklan menggunakan model cantik yang lazimnya membuatkan kita cepat tergoda. Pengetahuan mengenai produk harus diambil kira. Cara memakai produk kecantikan juga jangan diabaikan sebab tangan yang tidak dibersihkan dengan betul boleh mengundang padah. Oleh itu, kita sebagai pengguna janganlah mudah terpengaruh dengan kecantikan artis dan model-model kerana jika kita menggunakan produk yang sama dengan model tersebut belum tentu akan kelihatan cantik tetapi tidak mustahil akan menjadi lebih buruk.



Di samping itu, kehidupan kini yang mengalami perubahan dan peningkatan dalam pelbagai bidang sama ada dalam bidang teknologi maklumat, pengangkutan, pendidikan membuatkan pengguna bergerak seiring dengan kepesatan dunia. Wanita kini yang lebih mementingkan kerjaya dalam kehidupan tidak lagi mundur dalam bidang ekonomi. Wanita kini setanding dengan kaum Adam dalam semua bidang. Wanita dahulu yang tinggal di rumah dengan  berkain batik dan berbaju kurung kedah di rumah kini telah bersedia bersama-sama kaum Adam keluar bekerja. Mereka tidak lagi menjadi suri rumah tangga sepenuh masa tetapi turut sama-sama berjuang membangunkan ekonomi. Justeru itu, penampilan wanita ini haruslah seiring dengan kerjaya mereka. Tanpa produk kosmetik, hidup dirasakan kurang sempurna hingga mereka terlalu obses dengan produk kosmetik. Semakin ramai wanita berjawatan tinggi dalam kerjaya semakin tinggilah permintaan terhadap produk kosmetik. Permintaan yang tinggi terhadap produk kosmetik inilah menyebabkan berlakunya kebanjiran terhadap produk dalam negara sama ada diimport mahupun keluaran dalam negara. Wanita yang berkerjaya akan tampil menarik setanding dengan jawatan yang disandang.



Fitrah wanita itu sendiri yang amat menitikberatkan kecantikan juga menyebabkan mereka terlalu obses dengan produk kosmetik. Wanita dan kecantikan memang tidak dapat dipisahkan dari hujung rambut hingga hujung kaki. Semua wanita ingin kelihatan cantik tidak kira tua atau muda. Golongan berusia menjaga penampilan mereka melalui cara yang tersendiri manakala golongan muda juga turut melalui kaedah yang tertentu. Semua wanita ingin kelihatan cantik dan bergaya.  Wanita mempunyai sembilan nafsu manakala lelaki hanya mempunyai satu nafsu. Salah satu nafsu wanita ini ialah untuk mendapatkan kecantikan. Lantaran itu, tidak wujud istilah berputus asa dalam hidup mereka. Mereka akan terus berusaha untuk kelihatan cantik walaupun ada sesetengah kaedah yang agak membahayakan. Justeru itu, tidak hairanlah mereka terlalu obses dengan produk kecantikan.



Wanita yang obses dengan produk kosmetik juga sanggup mencuba pelbagai produk kosmetik yang berada di pasaran. Mereka akan mencuba dan terus mencuba. Penggunaan alat kosmetik akan berubah mengikut peredaran zaman sepertimana fesyen pakaian. Produk kosmetik yang lama akan ditinggalkan dan digantikan dengan produk kosmetik jenama terkini. Syarikat-syarikat produk kosmetik juga turut mengambil kesempatan dengan mengeluarkan pelbagai produk mengikut citarasa pengguna yang kadang-kala tidak mementingkan mutu dan mendapat kelulusan kementerian. Ada juga barangan tiruan dengan mengambil label produk lain untuk produk mereka. Produk kosmetik tiruan inilah amat ditakuti dan membahayakan pengguna kerana produk mereka tidak mendapat kelulusan daripada kementerian. Pengguna janganlah mudah tertipu dengan membeli produk tiruan ini. Pengguna hendaklah meneliti sebelum membeli dan syarikat yang mengeluarkan produk asal hendaklah mengambil langkah berhati-hati contohnya membuat cop hologram untuk produknya.



Selain itu, perspektif atau pandangan berbeza masyarakat terhadap wanita yang cantik dan wanita kurang menarik juga menjadi punca pengguna obses kepada produk kosmetik. Apabila masyarakat banyak memberi peluang dan laluan mudah kepada wanita cantik dan menarik dari segi luaran, manakala wanita kurang menarik menerima laluan agak sukar. Keadaan itu menjadikan wanita tertekan. Contohnya wanita cantik mudah mendapat pekerjaan kerana mereka memiliki kecantikan luaran yang dapat meyakinkan majikan untuk mengambilnya bekerja manakala wanita yang kurang menarik agak sukar untuk diterima bekerja. Oleh itu, wanita sedaya upaya untuk kelihatan cantik dan memilih produk kosmetik dengan harapan mereka akan lebih menarik.



Kesimpulannya, pengguna yang bijak harus berfikir dahulu sebelum membeli sesuatu barangan. Tidak salah untuk menjaga kecantikan dan penampilan diri tetapi hendaklah mengikut kemampuan dan keperluan. Jangan mengikut hawa nafsu tanpa memikirkan baik dan buruk sesuatu barangan. Pengguna hendaklah lebih peka kandungan bahan dalam sesuatu barangan kosmetik. Sikap berwaspada dapat mencegah sesuatu perkara tidak baik. Pihak pengeluar produk kosmetik juga jangan hanya mementingkan keuntungan yang ingin dicapai tanpa menjaga kepentingan pengguna. Sikap tidak bertanggungjawab boleh menyebabkan  terjadinya sesuatu perkara buruk terhadap pengguna. Kita sebagai pengguna berhak untuk membuat pilihan yang terbaik dan jangan membeli membuta tuli tanpa mengetahui akibatnya.




Sesungguhnya, pengguna yang bijak dapat menyelamatkan diri mereka dari kemudaratan. Ingatlah kecantikan rohani lebih penting dan mulia berbanding kecantikan fizikal yang hanya sementara. Membuat sesuatu perkara janganlah keterlaluan hingga diri sendiri yang menderita. Kerajaan haruslah memantau dari masa ke semasa pengeluaran dan penjualan produk kosmetik di Malaysia. Tindakan yang tegas harus diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. Secara keseluruhannya, peranan pengguna itu sendiri, masyarakat dan kerajaan mampu mengatasi masalah produk kosmetik yang melanggari undang-undang. Sesungguhnya, kerjasama semua pihak dapat menghindari perkara tidak baik berlaku kepada pengguna.