Kring!
kring! Kedengaran loceng sekolah berbunyi menandakan tamatnya waktu
persekolahan pada hari itu. Murid-murid mengucapkan ‘terima kasih’ kepada cikgu
yang mengajar. Mereka bergegas mendapatkan beg untuk pulang. Begitu juga dengan
Arifa dan Syafika. Kedua beradik ini berlari-lari anak menuju ke kereta yang
dipandu oleh ibu mereka.
Arifa
merupakan kakak kepada Syafika yang berumur 11 tahun. Arifa seorang yang
penyabar dan suka beralah dengan perangai adiknya. Dia merupakan murid yang
cemerlang di sekolah. Arifa juga aktif dalam bersukan. Sukan yang paling
digemarinya ialah bola jaring.
Syafika
pula berumur 10 tahun. Beza umur Syafika dan Arifa hanyalah satu tahun. Syafika
berlainan dengan kakaknya. Dia tidak gemar bersukan. Masa yang ada digunakan
dengan bermain komputer.
Arifa
dan Syafika selalu bergaduh apabila berada di rumah. Mereka bagai ‘anjing
dengan kucing’. Pergaduhan mereka tidaklah lama. Mereka akan berbaik semula
apabila dinasihati oleh ibubapa mereka dan kerapkali Arifa akan beralah
terlebih dahulu. Sebagai kakak, Arifa hendak menunjukkan contoh terbaik buat
adiknya.
Keadaan
ini amat membimbangkan ibu dan ayahnya. Sebagai adik-beradik, mereka sepatutnya
tolong-menolong. Bukannya bergaduh sesama mereka. Encik Kadir dan Puan Salma
tidak tahu apa yang harus dibuat lagi. Pelbagai cara dilakukan agar
adik-beradik ini tidak bergaduh. Tetapi, semuanya tidak berjaya.
**********
Seminggu
lagi cuti persekolahan akhir tahun akan bermula. Arifa dan Syafika telah
merancang untuk pulang ke kampung ibunya di Parit Buntar, Perak. Mereka amat
rindukan datuk dan nenek di kampung. Arifa dan Syafika tidak sabar menunggu
cuti persekolahan bermula.
“Ibu,
ayah, kakak nak anak patung baru untuk bawa balik ke kampung. Boleh tak?,”
tanya Arifa mengharap.
“Mana
adil, adik pun nak juga,”sampuk Syafika sambil mencebik ke arah kakaknya.
“Apa
yang bising ni?” tanya Encik Kadir. “Nanti, sebelum pulang ke kampung ayah akan
belikan seorang satu,” sambung Encik Kadir lagi.
“Sayang
ayah!” kata Arifa dan Syafika serentak.
“Dengan
ibu tak sayang?” tanya Puan Salma dengan nada merajuk.
“Kami
sayang ibu juga,” kata Arifa dan Syafika sambil memeluk ibu dan ayah mereka.
Cuti
persekolahan pun bermula. Encik Kadir sekeluarga ke bandar sebelum pulang ke
kampung. Mereka ingin membeli anak patung yang diimpikan oleh Arifa dan
Syafika.
Kelihatan
orang ramai di pasaraya. Kebanyakannya datang bersama keluarga. Cuti
persekolahan adalah masa yang terbaik untuk membawa anak-anak keluar dan
meluangkan masa bersama mereka.
“Ibu,
kakak nak teddy bear ni,” kata Arifa sambil memegang anak patung beruang
berwarna coklat. Patung itu sangat comel dan lembut apabila dipegang. Puan
Salma mengangguk tanda bersetuju dengan pilihan anaknya.
“Adik
pula nak yang mana?” tanya Puan Salma.
“Adik
nak yang sama macam kakak. Tapi, adik nak warna merah jambu. Itu dia,” kata Syafika
sambil menuding jari ke arah anak patung beruang berwarna merah jambu yang agak
jauh darinya.
“Kejap,
nanti ibu ambilkan,” kata Puan Salma.
Setelah
membayar di kaunter, Encik Kadir sekeluarga pun bertolak pulang ke kampung.
Encik Kadir dan Puan Salma berasa lega kerana telah menunaikan janji untuk
membelikan anak patung buat anak kesayangan mereka. Arifa dan Syafika sangat
sayang dengan anak patung tersebut. Mereka mendakapnya dengan erat.
Arifa
menamakan anak patungnya dengan nama ‘Lolipop’. Apabila terpandang anak patung
tersebut, dia membayangkan gula-gula lolipop. Arifa juga sangat suka memakan
gula-gula lolipop. Oleh sebab itu, dia menamakan sebagai Lolipop. Pelik, tetapi
sangat menyenangkan hatinya.
Syafika
pula menamakan anak patungnya dengan nama ‘Puteri’. Anak patungnya yang
berwarna merah jambu sangat sinonim dengan nama wanita bagi Syafika. Tambahan
pula angan-angan Syafika adalah untuk menjadi puteri raja suatu hari nanti.
Syafika memang suka berangan sejak dari dulu lagi.
Tepat
jam tiga petang, Encik Kadir sekeluarga selamat tiba di kampung. Mereka
disambut oleh datuk dan nenek. Nenek telah memasak masakan kampung yang amat
digemari oleh Arifa dan Syafika.
Pada
malam itu, mereka sekeluarga rancak berbual dengan datuk dan nenek. Hingga tidak
sedar hari sudah larut malam. Arifa dan Syafika seronok tinggal di kampung
kerana suasana yang nyaman dan jauh dari pencemaran.
**********
Keesokan
harinya, selepas bersarapan. Arifa dan Syafika masuk ke bilik untuk bermain.
Mereka ingin bermain dengan Puteri dan Lolipop yang baru dibeli. Tiba-tiba,
kedengaran Syafika menjerit sambil menangis. Encik Kadir bersama isterinya
bergegas masuk ke bilik.
“Kenapa
adik menangis?” tanya Encik Kadir.
“Anak
patung adik dah rosak. Matanya tercabut sebelah. Habis tak comel patung ni.
Mesti kakak yang rosakkan,” tuduh Syafika sambil menuding jarinya kepada Arifa.
“Kakak
tak buatlah. Ia tercabut sendiri. Kelmarin kakak tengok memang dah longgar,”
kata Arifa perlahan.
“Oh,
sebab itu. Nanti ibu gamkan. Jangan bergaduh lagi,” kata Puan Salma meleraikan
pergaduhan tersebut.
**********
Pada
petang itu, tanpa disedari oleh ibu dan ayah, Arifa dan Syafika telah pergi ke
sungai. Kedua beradik ini tidak meminta izin terlebih dahulu. Jarak rumah
dengan sungai agak jauh serta sunyi dari laluan orang ramai.
Arifa
dan Syafika bermain di tepi sungai bersama Puteri dan Lolipop. Sedang mereka
asyik bermain, tanpa disedari, Puteri terlepas dari tangan Syafika. Puteri
jatuh ke dalam sungai. Syafika menjerit meminta tolong sambil menangis.
Arifa
tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia sangat kasihan terhadap adiknya.
Puteri tenggelam di dalam air sungai yang dalam. Syafika tidak berhenti-henti
menangis. Arifa cuba memujuk adiknya. Tiba-tiba, kaki Arifa tergelincir kerana
tanah di tepi sungai yang licin. Arifa jatuh ke dalam sungai.
Syafika
cuba untuk menyelamatkan kakaknya tetapi tidak berjaya. Syafika semakin panik.
Dia menjerit meminta tolong dengan kuatnya. Mujurlah
pada ketika itu, Encik Kadir dan Puan Salma datang. Encik Kadir terus terjun ke
dalam sungai untuk menyelamatkan anaknya. Beberapa minit kemudian, Arifa
berjaya diselamatkan.
Ketika
diangkat ke darat, Arifa dalam keadaan pengsan. Encik Kadir berusaha
mengeluarkan air dari tubuh anaknya. Syafika pula asyik menangis sejak dari
tadi. Dia takut kehilangan kakak yang disayanginya. Syafika berdoa di dalam
hati semoga kakaknya cepat sedar.
Lima
minit kemudian, Arifa pun sedar. Keadaannya sangat lemah. Mukanya pucat.
Syafika sangat gembira melihat kakaknya sudah sedar. Encik Kadir membawa Arifa
ke hospital untuk rawatan selanjutnya. Arifa dibenarkan pulang setelah keadaannya
kembali stabil.
Arifa
dan Syafika meminta maaf kepada ibubapa mereka. Mereka berasa bersalah kerana
tidak meminta izin terlebih dahulu untuk keluar. Arifa dan Syafika berjanji
tidak akan melakukannya lagi. Syafika
juga turut berubah. Dia menjadi seorang yang lebih baik. Mendengar nasihat
ibubapa dan kakaknya. Dia tidak gemar mencari gaduh dengan Arifa lagi.
Kini,
kedua beradik itu tidak suka bergaduh lagi. Mereka lebih sayang-menyayangi
antara satu sama lain. Encik Kadir berjanji pada Syafika yang dia akan
membelikan anak patung baru seperti Puteri. Hubungan Arifa dan Syafika semakin
akrab bagai ‘isi dengan kuku’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan