Isnin, 26 Mei 2014

Si Kuyup

Si Kuyup

Di hujung kampung, tinggal sebuah keluarga yang hidup aman dan bahagia. Mereka menetap di sebuah rumah kecil yang dikelilingi sawah padi. Kehidupan mereka ibarat ‘kais makan makan pagi, kais petang makan petang’. Walaupun hidup dalam serba kekurangan, keluarga ini tetap gembira dan bersyukur.

Pak Hamzah bekerja sebagai pesawah manakala Siti Aminah sebagai suri rumah. Mereka dikurniakan dua orang anak yang cantik dan baik budi pekerti iaitu Amir dan Syakirah. Amir merupakan anak sulung dalam keluarga tersebut. Berumur 12 tahun. Tidak lama lagi Amir akan menghadapi peperiksaan UPSR. 

        Setiap hari, setelah membantu ayahnya di sawah, Amir akan mengulangkaji pelajaran. Amir tahu bahawa pelajaranlah yang akan mengubah nasib keluarganya daripada sebuah keluarga miskin kepada sebuah keluarga yang hidup kaya-raya dan berjaya. Oleh itu, Amir berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam pelajaran seterusnya membantu keluarganya.

Syakirah pula merupakan anak bongsu dalam keluarga tersebut. Syakirah berumur 10 tahun. Muda dua tahun daripada abangnya. Syakirah adalah seorang budak yang rajin membantu ibunya di rumah. Syakirah suka mengemas rumah, mencuci pakaian dan menolong ibunya memasak. Selain itu, Syakirah turut membantu menjual kuih-muih serta nasi lemak yang dibuat oleh ibunya pada setiap pagi. Sikap ringan tulang Syakirah amat disenangi oleh keluarganya.

**********

Pada suatu hari, dalam perjalanan pulang dari sekolah, Amir terjumpa seekor kucing yang hampir lemas di dalam sungai. Kawan-kawan Amir tidak mempedulikan kucing tersebut, malah ketawa melihat kucing terkapai-kapai untuk menyelamatkan diri.

Amir berasa kasihan melihat kucing tersebut. Dia terus terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan kucing itu. Akhirnya, kucing tersebut berjaya diselamatkan. Kucing itu berada dalam dakapan Amir untuk menghilangkan kesejukannya.

Amir pulang ke rumah dalam keadaan basah kuyup. Dia risau dimarahi ibunya apabila melihat keadaannya begitu.

“Amir, kenapa baju kamu basah?”, tanya Siti Aminah.
“Tadi, semasa dalam perjalanan pulang, ada kucing hampir lemas di dalam sungai. Amir pun selamatkan kucing tersebut. Ini kucingnya,” kata Amir ketakutan sambil menunjukkan kucing yang diselamatkan kepada ibunya.
“Oh begitu, mak tak marah pada kamu. Cuma ibu nak nasihatkan kepada kamu supaya lain kali lebih berhati-hati. Air sungai di situ sangat dalam,”kata ibunya risau.
“Baiklah, ibu,” jawab Amir.
“Cepat salin pakaian kamu. Nanti kamu pula yang demam,” tambah Siti Aminah lagi.

Amir pun bergegas ke biliknya untuk menukar pakaian. Setelah membersihkan diri dan solat Zohor, Amir membersihkan pula kucing yang diselamatkannya tadi. Kucing itu berwarna putih dan mempunyai bulu yang cantik.

“Mulai hari ini, aku namakan engkau Si Kuyup,” kata Amir kepada kucing tersebut.

Amir menamakan Si Kuyup kerana sempena terjumpa kucing tersebut dalam keadaan dirinya dan kucing itu yang basah kuyup. Oleh itu, Amir memberi nama kucing tersebut sebagai ‘Si Kuyup’. Si Kuyup hanya mengiau sahaja apabila Amir bercakap dengannya. Si Kuyup seperti mengetahui apa yang dikatakan oleh Amir.

“Abang, comelnya kucing ini,” kata Syakirah yang datang dari dapur.
“Abang jumpa Si Kuyup di sungai. Si Kuyup hampir lemas,” kata Amir.
“Abang, adik nak jaga kucing ini juga ya,” kata Syakirah lagi.
“Kita jaga sama-sama. Adik tolong ambilkan nasi dan lauk di dapur. Abang nak beri pada Si Kuyup. Tentu Si Kuyup lapar,” kata Amir.
“Baik abang,” balas Syakirah.

Si Kuyup begitu manja dan serasi bersama keluarga tersebut. Ke mana sahaja Amir dan Syakirah pergi, Si Kuyup turut bersama. Sama ada ke kedai mahupun ke sawah. Si Kuyup juga sangat jinak dan suka bermain-main. Amir dan Syakirah semakin sayang dengan kucing tersebut.

**********

Pada suatu malam, ketika Amir dan Syakirah sedang mengulangkaji pelajaran. Mereka terkejut kerana Si Kuyup tiada bersama mereka. Kebiasaannya, Si Kuyup akan tertidur di sebelah mereka setelah penat bermain.

“Abang, mana Si Kuyup?” tanya Syakirah risau.
“Yalah, adik. Si Kuyup hilang. Mari kita cari di luar,” ajak Amir.
“Harap-harap Si Kuyup tidak pergi ke mana-mana,”kata Syakirah.
Amir dan Syakirah pun keluar untuk mencari Si Kuyup. Mereka membawa lampu suluh bersama.
“Si Kuyup! Si Kuyup!” jerit Amir dan Syakirah.
“Abang, itu Si Kuyup. Dia menghala ke rumah jiran kita, Datuk Fuad,” kata Syakirah.
“Mari kita pergi ke sana,” kata Amir pula.

Amir dan Syakirah pun pergi ke rumah jiran mereka yang bernama Datuk Fuad. Datuk Fuad adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya di kampung mereka. Datuk Fuad membuka kedai baju di bandar serta mempunyai banyak cawangan di seluruh negeri. Dalam perjalanan ke sana, mereka berhenti di sebatang pokok.

“Adik, ada orang masuk ke rumah Datuk Fuad. Siapakah mereka?”tanya Amir.
“Yalah abang, Datuk Fuad tiada di rumah. Mereka sekeluarga pergi bercuti ke Pulau Langkawi,” kata Syakirah.
“Abang rasa, orang ini mesti pencuri. Mereka nampak mencurigakan dan berada ditempat gelap,” tambah Amir.
“Abang, adik takutlah,”kata Syakirah dalam keadaan ketakutan.
“Adik jangan risau, kita sembunyi sahaja di bawah pokok ini,” kata Amir menenangkan hati adiknya.

Amir dan Syakirah bersembunyi di bawah rimbunan pokok. Mereka lihat pencuri tersebut memecahkan tingkap rumah Datuk Fuad. Kedengaran bunyi yang agak kuat. Tetapi disebabkan rumah Datuk Fuad yang agak jauh dari rumah lain menyebabkan bunyi tersebut tidak dapat didengar oleh jiran tetangga. Kedua-dua pencuri pun masuk ke rumah melalui tingkap yang pecah itu.

“Adik, adik pulang ke rumah dan beritahu pada ibu dan ayah. Abang pula akan panggil orang kampung,” kata Amir.
“Baiklah abang,” jawab Syakirah.

10 minit kemudian, rumah Datuk Fuad telah dikepung oleh pihak polis dan orang kampung. Kedua-dua pencuri itu tidak menyedari bahawa rumah tersebut telah dikepung. Lima orang anggota polis menyerbu masuk ke dalam rumah Datuk Fuad. Berlaku pergelutan di antara polis dan pencuri. Akhirnya, anggota polis berjaya menangkap pencuri tersebut. Kedua-dua pencuri diberkas dan dibawa masuk ke dalam kereta. Pihak polis merampas barang kemas dan sejumlah wang daripada pencuri.

Pihak polis mengucapkan tahniah kepada Amir kerana membantu pihak polis. Amir yang bertindak cepat memberitahu pihak polis adalah suatu tindakan yang bijak. Keberanian dan kecekapan Amir mendapat pujian daripada pihak polis. Tambahan pula kedua-dua pencuri tersebut sememangnya menjadi buruan polis sejak sekian lama.

Setelah kereta polis beredar dari rumah Datuk Fuad, Amir, Syakirah serta ibubapanya melangkah pulang ke rumah. Ketika dalam perjalanan, mereka ternampak Si Kuyup mengerang kesakitan di tepi jalan.

“Abang, itu Si Kuyup,” kata Syakirah.
“Si Kuyup cedera. Mungkin dilanggar kenderaan yang lalu-lalang,” kata Amir sambil melangkah ke arah Si Kuyup.
“Bawa Si Kuyup pulang. Nanti kita boleh merawatnya,” kata Pak Hamzah.

Pak Hamzah merawat luka di kaki Si Kuyup. Si Kuyup  tidak mengalami kecederaan yang teruk. Amir dan Syakirah berasa lega bila melihat Si Kuyup boleh berjalan semula walaupun terjengket-jengket.

Berita kecurian di rumah Datuk Fuad menjadi bualan penduduk kampung. Berita keberanian Amir dan Syakirah membantu menyelesaikan jenayah turut tersebar.

**********

Keesokan harinya, Datuk Fuad sekeluarga pulang bercuti lebih awal apabila mendapat panggilan daripada pihak polis. Mereka berasa bersyukur kerana pencuri dapat ditangkap dan tidak mengalami sebarang kerugian. Rupa-rupanya pencuri yang masuk ke rumah adalah bekas pekerja Datuk Fuad. Datuk Fuad terpaksa memberhentikan mereka kerana terlibat dalam penyelewengan wang syarikat.

Datuk Fuad berterima kasih kepada Amir sekeluarga. Tanpa bantuan Amir dan Syakirah sudah tentu pencuri akan terlepas. Datuk Fuad memberi sedikit wang sebagai tanda berterima kasih. Selain itu, Datuk Fuad sekeluarga bersetuju untuk menjadikan Amir dan Syakirah sebagai anak angkat. Segala perbelanjaan pelajaran akan ditanggung oleh Datuk Fuad.

Amir dan Syakirah berasa sangat gembira. Mereka kini mempunyai keluarga baru. Mereka juga berterima kasih pada Si Kuyup kerana Si Kuyuplah mereka berjaya membantu menyelesaikan kes kecurian tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan